Najib: Kerajaan timbang longgarkan Auku
Kerajaan sekali lagi mengulangi kesediaannya untuk menimbang permintaan Majlis Belia Malaysia (MBM) supaya kerajaan membuat pindaan kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) bagi membolehkan siswa menyertai pertubuhan belia di luar kampus.
Kerajaan sekali lagi mengulangi kesediaannya untuk menimbang permintaan Majlis Belia Malaysia (MBM) supaya kerajaan membuat pindaan kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) bagi membolehkan siswa menyertai pertubuhan belia di luar kampus.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan juga akan menimbang permintaan MBM supaya Akta Belia Negara 2006 menyatakan dengan jelas peranan MBM sebagai sebuah badan induk belia dan mengenai pelantikan anggota Majlis Perundingan Belia Negara.
"Kerajaan akan buat pertimbangan sebaik-baiknya terhadap semua cadangan yang dikemukakan oleh MBM...mesej yang diberikan adalah jelas dan nyata," katanya ketika menyampaikan Amanat Perdana kepada Pergerakan Belia Malaysia di Mesyuarat Agung MBM ke-56 di Taiping hari ini.
Sebelum ini, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamad dan menteri berkenaan sebelumnya, Datuk Shafie Salleh, juga menyatakan kesediaan kerajaan meminta Auku untuk membolehkan pelajar aktif di luar kampus.
Najib berkata, beliau akan berunding dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan yakin ia akan mendapat pertimbangan sebaik mungkin daripada kerajaan.
"Saya dengar, saya faham dan saya akan berunding dengan Perdana Menteri yang juga tentu faham jiwa belia," katanya merujuk kepada gesaan Presiden MBM Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo mengenainya Sabtu lalu.
Timbalan Perdana Menteri berkata tiga perkara yang akan diberi pertimbangan oleh kerajaan ialah peruntukan dalam Akta Belia Negara 2006 yang tidak menyebut nama MBM, pelantikan anggota Majlis Perundingan Belia Negara dan pindaan Auku.
Menurut laporan Bernama, Sabtu lalu, Dr Mohamad Khir yang secara rasmi mengundur diri sebagai presiden dalam pemilihan kali ini, berkata pindaan terhadap Auku relevan untuk pembangunan diri siswa melalui penyertaan dalam pertubuhan belia di luar kampus serta menyediakan mereka sebagai generasi pelapis kepemimpinan negara.
Pindaan relevan
Berikutan itu, beliau juga menegaskan MBM yang mempunyai 40 ahli gabungan tidak mempunyai pilihan sama ada terpaksa berkubur atau berdikari jika Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meneruskan pembentangan akta itu tanpa membuat pindaan sewajarnya.
Dalam kenyataannya, Menteri Besar Selangor itu mahu KBS mengiktiraf peranan badan induk belia itu dengan menyatakan dengan jelas nama MBM sebagai badan induk pertubuhan belia negara dalam akta berkenaan.
Katanya, jika KBS tidak menyebut perkara itu dengan jelas dalam akta itu, maka MBM akan menjadi sama seperti ahli gabungannya atau setaraf pertubuhan belia lain sedangkan ia berperanan sebagai sebuah badan induk belia negara sejak 1948.
Dr Mohamad Khir turut menjelaskan bahawa MBM bukan menentang akta itu tetapi mahu ia memberi ruang kepada majlis itu memainkan peranan sebagai wakil kepada belia pelbagai agama dan kaum di negara ini.
Menurut beliau, apa yang dibantah MBM ialah peruntukan dalam akta itu yang memberi kuasa kepada Menteri Belia dan Sukan untuk memilih mana-mana pertubuhan belia sebagai wakil negara pada peringkat antarabangsa serta kuasa memilih wakil dalam Majlis Perundingan Belia Negara.
Difahamkan MBM dan KBS melalui sebuah jawatankuasa khas sudah berbincang mengenai perkara ini tetapi sehingga kini, draf akhir akta masih tidak berubah walaupun KBS sudah beberapa kali mengatakan akan melihatnya semula.
Terdahulu dalam ucapannya, Najib mahu pemimpin serta persatuan belia sedia menghadapi perubahan dan anjakan paradigma jika mereka mahu terus relevan dengan persekitaran semasa.
Beliau berkata setiap pemimpin dan ahli belia perlu kreatif, inovatif, kritis dan konstruktif untuk terus memastikan golongan belia dapat terus berperanan dalam pembanguan negara.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.