Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penyingkiran dari Bersatu: Dr M, 6 lagi fail injunksi kekalkan status quo

Dr Mahathir Mohamad dan enam lagi individu telah memfailkan permohonan injunksi sementara untuk mengekalkan keahlian mereka dalam Bersatu sementara menunggu tindakan undang-undang mereka berkaitan penyingkiran daripada parti itu.

Perkara itu disahkan peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang menjelaskan permohonan interlokutori itu akan didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 18 Jun ini.

Pada 9 Jun lalu, pengerusi Bersatu yang dipertikai, Dr Mahathir Mohamad dan enam lagi dilaporkan memfailkan tindakan perundangan terhadap Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan tiga pihak lagi, berhubung penamatan keahlian mereka dalam parti itu.

Enam lagi plaintif ialah Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Maszlee Malik, Amiruddin Hamzah dan Marzuki Yahya.

Selain muhyiddin, tiga lagi defendan ialah Menteri Dalam Negeri yang juga Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) Masyati Abang Ibrahim dan Setiausaha Kerja Bersatu Muhammad Suhaimi Yahya.

Hari ini, Haniff berkata permohonan interlokutori itu antara lain memohon "injunksi untuk mengekalkan status quo semua pihak dan Bersatu sehingga perbicaraan selesai".

"Semalam firma kami juga memfailkan notis permohonan bagi tujuan memperolehi beberapa perintah injunksi interim yang dipercayai perlu disegerakan, sebelum bicara tindakan writ saman (tindakan undang-undang utama) dapat diselesaikan di mahkamah," katanya.

Menurut Haniff, mahkamah menetapkan 18 Jun ini untuk mendengar permohonan itu dan pihaknya akan menyerahkan salinan permohonan kepada keempat-empat defendan awal minggu depan.

Beliau juga berkata pihaknya telah menyerahkan writ saman dan penyata tuntutan kepada defendan hari ini, dan pengurusan kes telah ditetapkan pada 9 Julai ini.

Lihat Komen
ADS