Malaysiakini
BERITA

Dr M: Muhyiddin akan 'tentukan' enam MP Umno tak disabit salah kes rasuah

Diterbitkan

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan "menentukan" enam ahli parlimen Umno yang berdepan kes mahkamah atas tuduhan rasuah tidak disabitkan kesalahan, kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Jelas Mahathir, sekiranya ahli parlimen Umno itu didapati bersalah oleh mahkamah, mereka tidak lagi jadi wakil rakyat, yang akan menyebabkan kerajaan Muhyiddin tumbang kerana kekurangan majoriti.

"Sekarang jumlah wakil rakyat yang menyokong Muhyiddin hanya 114, iaitu tiga sahaja lebih dari separuh (daripada 222 kerusi kesemuanya).

"Jika enam orang ini didapati bersalah oleh mahkamah, mereka tidak lagi jadi wakil rakyat. Dengan itu penyokong Muhyiddin tinggal 108 – iaitu kurang dari separuh.

"Maka kerajaan Muhyiddin pun akan jatuh. Sebab itu Muhyiddin akan tentukan enam orang wakil rakyat akan didapati tidak salah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan itu, Mahathir menyebutkan enam ahli parlimen Umno itu ialah Najib Razak (Pekan), Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk), Tengku Adnan Tengku Mansor (Putrajaya), Abdul Azeez Abdul Rahim (Baling), Ahmad Maslan (Pontian) dan Bung Moktar Radin (Kinabatangan).

Mahathir juga menyorot keputusan pendakwaan untuk menggugurkan tuduhan rasuah terhadap anak tiri Najib, Riza Shahriz Abdul Aziz dan bekas ketua menteri Sabah Musa Aman setelah Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Muhyiddin mengambil alih kerajaan.

"Sudah tentu enam orang ini juga akan didapati tidak bersalah. Maka selamatlah Muhyiddin.

"Dunia akan ketawa melihat Kerajaan pintu belakang ini putar undang-undang. Yang salah tidak salah. Yang benar salah. Yang menang kalah. Yang kalah menang.

"Syabas. Norma baru sudah dicipta," katanya.

Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri baru pada 1 Mac setelah Mahathir menolak untuk menerajui PN yang terdiri daripada Bersatu, BN, PAS, GPS, PBS dan STAR.

Muhyiddin pada Feb lalu membawa Bersatu keluar daripada Pakatan Harapan (PH), yang menyebabkan kerajaan ketika itu tumbang.

Mahathir kini dikatakan berusaha untuk membuat serangan balas bersama PH, namun Muhyiddin dilihat masih menguasai Bersatu, dengan penyokong-penyokong Mahathir disingkir dari parti itu.

Sementar Muhyiddin dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk mengadakan pilihan raya mengejut sekiranya Mahathir berjaya meraih pengaruh dalam Bersatu.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan