Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Zaharin guna warna dan imej abstrak untuk luah apa terbuku di hati

Warna-warna yang dihasilkan oleh alam menjadi insprasi kepada pelukis Zaharin Mohamed.

Zaharin memberitahu itu adalah cara beliau mensyukuri segala nikmat diberi tuhan dan juga jalan bagaimana beliau boleh lebih mendekatkan diri kepada pencipta semesta alam ini.

Sewaktu masih dalam kuliah lagi karya-karya beliau telah mendapat perhatian ramai.

Beliau sering mengadakan pameran merata-rata tempat dan mendapat perhatian Galeri ArtCase kepunyaan pelukis terkenal Raja Azhar Raja Idris.

Melalui galeri ini karya Zaharin mula menjadi perhatian peminat seni tanah air dan beliau bertambah semangat dalam menghasilkan karya.

Karya-karya beliau kelihatan dipengaruhi oleh kerja pelukis terkenal seperti Awang Damit, Syarifah Fatimah Syed Zubir dan juga Rafiee Ghani.

Ia tentu tidak menghairankan kerana nama-nama yang disebut merupakan guru kepada Zaharin semasa berkuliah di UiTM Shah Alam.

Dengan tunjuk ajar daripada mereka berserta dengan bimbingan pelukis Fauzan Omar, Zaharin mula menghasilkan karya yang tersendiri walaupun masih terdapat sedikit pengaruh daripada kerja-kerja gurunya itu.

Setelah lama akhirnya Zaharin berjaya untuk menjadi diri sendiri dan karyanya hari ini adalah gambaran perjalanan hidup beliau dalam berkarya.

Beliau memilih genre abstrak kerana menurutnya melalui karya sebegitulah lebih mudah untuk melepaskan dan menyampaikan apa yang terbuku di hati.

Setelah tamat belajar Zaharin terus menjadi seniman sepenuh masa namun kegawatan ekonomi dunia sekitar 1998 membuatkan beliau terpaksa mencari alternatif lain.

Beliau memulakan karier sebagai penjual kereta dan meninggalkan dunia seni catan buat sementara.

Apabila ditugaskan ke Taiping oleh majikannya, beliau kembali aktif bagi mengisi masa yang terluang disebabkan Taiping - pada pandangannya - adalah sebuah bandar yang pasif.

Bermula dari situlah - dan dengan dorongan Ameruddin Ahmed, Rosli Zakaria, Jamil Mat Isa dan juga Zakaria Sharif yakni sahabat-sahabatnya semasa belajar - beliau mula mengorak langkah untuk dikenali kembali sebagai seorang seniman.

Zaharin melepaskan jawatan sebagai pengurus Proton Edar cawangan Temerloh setelah mengalami masalah kesihatan dan kini menumpukan sepenuh masa kepada dunia seni catan.

Lihat Komen
ADS