Kerajaan menegaskan keputusan melonggarkan peraturan penjarakan sosial bagi semua penerbangan penumpang berjadual dan tidak berjadual sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) tidak dibuat secara sebelah pihak.

Sebaliknya, kata Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong ia melibatkan pengendali lapangan terbang, syarikat penerbangan, Jabatan Imigresen dan Kastam Diraja Malaysia.

"Sebagai menjawab dakwaan pihak-pihak tertentu berhubung keputusan kerajaan untuk melonggarkan peraturan jarak sosial bagi semua penerbangan penumpang berjadual dan tidak berjadual, Kementerian Pengangkutan (MOT) ingin menyatakan keputusan tersebut tidak dibuat secara sebelah pihak.

"Sebaliknya melibatkan konsultasi dengan pihak berkepentingan baik di sektor swasta mahupun awam dengan mengambil kira kepentingan keselamatan serta kesihatan para penumpang dan anak kapal sebelum keputusan dimuktamadkan." kata Wee dalam satu kenyataan di Facebooknya, malam tadi.

Wee mengulangi pendiriannya pada Khamis bahawa keputusan untuk tidak mewajibkan penjarakan sosial di dalam pesawat dibuat bersandarkan kepada cadangan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berdasarkan bukti saintifik dan penilaian risiko mengikut fakta yang tepat.

Ia disusuli pengumuman Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob bahawa semua pengangkutan awam dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh ketika tempoh PKPP.

Ia termasuklah teksi, perkhidmatan e-hailing, bas ekspres, bas awam, kereta api, LRT dan MRT, feri dan kapal terbang.

Bagaimanapun, Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (Nufam) semalam menyuarakan rasa bimbang dan terkejut dengan kelonggaran peraturan berhubung penjarakan sosial apabila syarikat penerbangan memulakan operasi penerbangan seperti biasa.

Bertemu wakil syarikat penerbangan

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh sekretariat Nufam, kesatuan itu berkata pihaknya tidak berpuas hati kerana kekurangan perundingan dibuat dalam hal berkenaan dan berkata arahan baru itu membahayakan juruterbang dan anak kapal.

Mengulas perkara itu, Wee berkata satu prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan berhubung perkara tersebut dan dipersetujui oleh MOT bersama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN), KKM dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada 7 Jun 2020.

SOP tersebut merangkumi:

  1. Penumpang wajib memakai pelitup muka.
  2. Pemeriksaan suhu badan dan ujian saringan gejala menggunakan pengimbas sebelum menaiki pesawat.
  3. Jejak kontak penumpang.
  4. Menggunakan cecair pembasmi kuman.
  5. Garis panduan KKM mengenai pencegahan jangkitan dan kesedaran kebersihan perlu disampaikan sepenuhnya kepada anak kapal syarikat penerbangan.
  6. Kabin kapal terbang dibersihkan selepas setiap penerbangan.
  7. Mengelakkan aktiviti bersentuhan semasa perkhidmatan penerbangan seperti pengendalian makanan.

Wee juga pada Khamis memuat naik hantaran di Facebook bahawa beliau bertemu dengan wakil syarikat penerbangan utama Malaysia untuk membincangkan pengoperasian semula industri penerbangan negara itu.

Ini termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Kapten Izham Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat; dan Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air Mushafiz Mustafa Bakri.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) digantikan dengan (PKPP) yang bermula dari 10 Jun sehingga 31 Ogos 2020.