Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pelakon muda Bollywood ditemui mati dalam rumah
Diterbitkan:  Jun 14, 2020 6:44 PM
Dikemaskini: 10:47 AM

Aktor muda dan berbakat Bollywood, Sushant Singh Rajput, dilaporkan meninggal dunia dipercayai kerana membunuh diri di kediamannya di Mumbai hari ini.

Dia baru berusia 34 tahun.

Menurut Hindustantimes, kematian aktor filem Drive dan Kai Po Che itu berlaku hanya beberapa hari selepas bekas pengurusnya, Disha Salian, dilaporkan meninggal dunia, juga dikatakan akibat bunuh diri.

Hantaran terakhir di Instagram milik mendiang memaparkan gambar dia bersama dengan ibunya, disertai kapsyen berbentu sajak:

“Masa silam kabur, tersejat dari air mata

impian yang tak berpenghujung mengukir lengkungan senyum

dan hidup yang seketika

berunding di antara keduanya …"

Bagaimanapun hantaran itu bukanlah dibuatnya pada hari ini sebaliknya seminggu lalu.

Pada hantaran itu juga, peminat-peminatnya menzahirkan takziah dan rasa tidak percaya atas berita kematiannya itu.

Antara personaliti terkenal yang menzahirkan rasa terkejut dengan berita duka itu ialah Akshay Kumar.

“Sejujurnya, berita ini membuatkan saya terkejut dan hilang kata-kata.

"Saya masih ingat lagi menonton Sushant dalam Chhichhore dan berkata kepada kawan saya, Sajid - yang merupakan penerbit filem itu - betapa saya menikmati filem itu dan berharap dapat turut serta di dalamnya.

“Aktor yang begitu berbakat. Semoga Tuhan memberi kekuatan buat keluarganya,” ciapnya di Twitter.

Chhichhore merupakan filem terkahir Shushant di layar perak, disiarkan pada 2019.

Menurut Times of India, Sushant pada awalnya mendapat perhatian hebat dengan drama televisyen dibintangnya, sebelum beranjak ke arena perfileman.

Dia melakukan penampilan sulung di layar lebar dengan filem Kai Po Che pada 2012, dan terus membintangi filem-filem hit seperti PK dan Kedarnath.

Filemnya yang paling berjaya setakat ini dikatakan ialah MS Dhoni: The Untold Story.

Malaysiakini tidak melaporkan kaedah bunuh diri, selaras dengan garis panduan laporan kes seumpama itu oleh Kementerian Kesihatan.

Jika anda merasa tertekan atau mengalami kemurungan, atau kenal sesiapa yang mengalaminya, anda boleh menghubungi Befrienders di talian 03-79568145/8144 atau emel kepada [email protected] untuk mendapatkan bantuan.

Bagi maklumat lanjut berkenaan talian Befrienders di negeri-negeri, kunjungi laman web www.befrienders.org.my.

Bagi isu berkaitan kebajikan, penderaan dan pembuangan bayi, boleh hubungi di talian bebas tol Talian Kasih 15999.

Lihat Komen
ADS