Paling Popular
Terkini

Gabungan Teksi Se-Malaysia (GTSM) membangkitkan dilema pemandu teksi dalam isu pendatang asing tanpa asing (Pati).

Perkara itu diketengahkan selepas beberapa siri tangkapan melibatkan golongan itu menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) kerana membawa Pati.

Presiden Gabungan Teksi SeMalaysia (GTSM) Kamarudin Mohd Hussain berkata mereka merasakan apa yang berlaku tidak betul dan perlu diberi pembelaan.

Katanya, sebagai pemandu teksi mereka tidak mengetahui latar belakang penumpang.

“Mereka hanya penyedia perkhimatan pengangkutan awam kepada orang ramai dan kami tidak mempunyai sebarang bidang kuasa untuk membuat pemeriksaan kepada penumpang," katanya kepada Malaysiakini.

Gambar hiasan

Beliau justeru menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk campur tangan dalam isu itu melibatkan pemerdagangan manusia itu.

Kamarudin berkata sehingga kini GTSM menerima laporan terdapat enam pemandu teksi dan seorang bekas pemandu bas pelancong ditahan.

Panggilan dari warga Malaysia

Katanya, dalam satu kes di Kota Tinggi, Johor awal bulan ini, seorang pemandu teksi menerima panggilan daripada seorang rakyat Malaysia untuk ke satu destinasi.

"Ketika pemandu teksi ke sana, lelaki tersebut naik teksi bersama empat warga Indonesia.

"Apabila sampai ke destinasi kesemua mereka ditahan oleh renjer hutan dan di bawa ke balai polis kerana disyaki terlibat pemerdagangan manusia,” katanya.

Tambahnya, keadaan ini perlu dibetulkan dengan segera kerana sesiapa sahaja yang menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam berisiko dikenakan tindakan yang sama.

"Sebagai rakyat Malaysia, kami menyokong penuh usaha kerajaan membenteras Pati, tetapi jangan sampai sesuatu tangkapan itu dibuat sehingga menzalimi rakyat sendiri.

"Kami rakyat bawahan mencari rezeki dengan menyediakan perkhidmatan pengangkutan kepada orang ramai," katanya.

Tambahnya, GTSM akan menulis sepucuk surat kepada KDN dan ketua polis negara berhubung penahanan itu.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi KDN berkaitan perkara dibangkitkan.

Lihat Komen
ADS