41 kes baru, 32 babitkan warga asing
Setakat tengah hari tadi, Malaysia mencatatkan 41 kes Covid-19 baru, menjadikan jumlah kes terkumpul yang dicatatkan adalah sebanyak 8,494 kes.
Dalam sidang media hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes baru itu terdiri daripada tiga kes import dan 38 kes jangkitan tempatan.
Daripada 38 kes jangkitan tempatan, 32 kes melibatkan warga asing, dan enam melibatkan warga tempatan. Kesemua mereka sudah diasingkan dan kini sedang menerima rawatan.
Bagi kes jangkitan tempatan yang melibatkan warga asing, kumpulan terbesar terdiri daripada 15 kes dari kluster Pedas yang berasal dari kilang ayam di Negeri Sembilan.
Ia diikuti 14 individu di Akademi Imigresen Malaysia, Port Dickson yang menjadi tempat tahanan dari pusat tahanan Bukit Jalil dipindahkan berikutan wabak di sana.
Kes selebihnya melibatkan tiga individu dari syarikat pembersihan.
Bagi kes penularan tempatan yang melibatkan rakyat Malaysia, dua kes dicatat di Selangor dan dua lagi di Melaka, sementara satu kes masing-masing di Negeri Sembilan dan Sabah.
Kes-kes di Selangor melibatkan seorang individu yang dikesan berada di rumah warga emas di Kuala Selangor dan yang lain adalah kontak rapat dengan pesakit Kes 8,294.
Kes di Melaka melibatkan kontak rapat dengan pesakit Kes 7,817 dan selebihnya dari ujian saringan di sekolah agama.
Kes di Negeri Sembilan juga melibatkan sekolah agama manakala kes Sabah adalah kontak rapat dengan pesakit Kes 8,403 yang juga merupakan kematian Covid-19 ke-119.
Seramai 54 lagi pesakit pulih, menjadikan jumlah keseluruhan yang sembuh dari wabak itu ialah 7,400 kes atau 97.1 peratus daripada keseluruhan kes.
Ini menjadikan jumlah kes aktif Covid-19 di Malaysia ialah 973.
Empat pesakit kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan.
Noor Hisham juga hari ini memaklumkan tiada kematian baru dilaporkan, menjadikan jumlah korban akibat Covid-19 di Malaysia kekal sebanyak 121 kes.


