Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Eric Paulsen bukan lagi ahli MPKM
Diterbitkan:  Jun 16, 2020 10:24 AM
Dikemaskini: 3:05 AM

KEMASKINI 11.05AM | Kementerian Komunikasi dan Multimedia memaklumkan peguam Eric Paulsen tidak lagi menjadi ahli Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia (MPKM).

Perkara itu diumumkan dalam kenyataan media yang dikeluarkan Unit Komunikasi Korporat kementerian itu hari ini.

"Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia ingin memaklumkan bahawa peguam Eric Paulsen tidak lagi menjadi ahli MPKM.

"Bagaimanapun keputusan ini tidak akan menjejaskan fungsi MPKM, yang telah ditubuhkan pada 9 Jun 2020 yang lalu," kata kenyataan itu.

Justeru MPKM akan terus berperanan membincangkan dan menasihati kementerian dalam pendekatan dan dasar berkenaan komunikasi dan multimedia, kata kenyataan itu lagi.

Pelantikan Paulsen mula dibangkitkan Timbalan ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari pada 14 Jun lalu, yang menggesanya ditarik balik.

Gesaan itu disusuli Ketua Penerangan Pusat PAS Kamaruzaman Mohamad yang membuat gesaan sama dan menyifatkan peguam itu sebagai "terkenal dengan sikap dan pandangan yang sangat sinis terhadap Islam serta perkara-perkara berkaitan hal ehwal Islam."

Semalam, Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki pula mempersoalkan asas pelantikan itu dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah tampil memberi penjelasan.

Asyraf mendakwa Paulsen pernah mengguris hati orang Islam dengan kenyataan berbaur penghinaan terhadap Islam, antaranya mendakwa khutbah Jumaat yang disediakan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) mempromosikan ekstremisme pada 2015.

Turut senada dengan Asyraf ialah anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Mohd Rafiq Naizamohideen yang turut mendakwa perkara sama, iaitu Paulsen seorang yang sering mengeluarkan kenyataan menghina Islam.


Lihat Komen
ADS