Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Daim persoal jangkaan Tengku Zafrul ekonomi pulih tahun depan
Diterbitkan:  Jun 16, 2020 10:57 AM
Dikemaskini: 2:57 AM

Bekas menteri kewangan Daim Zainuddin menyifatkan masih terlalu awal untuk mengatakan bahawa ekonomi negara akan kembali pulih tahun depan.

Beliau mempersoalkan jangkaan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz yang dilaporkan berkata Malaysia boleh menyaksikan fasa pemulihan ekonomi seawal tahun 2021.

Menurut Daim, kemelesetan ekonomi global akibat Covid-19 adalah lebih buruk berbanding krisis ekonomi dunia yang pernah dihadapi sebelum ini.

“Terlalu awal untuk mendakwa yang kita akan berjaya keluar daripada kesulitan tidak lama lagi. Penguncupan ekonomi akan melewatkan progres kita sekurang-kurangnya untuk beberapa tahun lagi.

“Kita kena ingat yang walaupun KDNK (keluaran dalam negara kasar) kembali pulih pada 1999 selepas (krisis kewangan) 1998, hanya pada 2002 ekonomi kembali ke paras setara sebelum krisis berlaku," katanya seperti dipetik laman The Malaysian Insight.

Bekas pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan PH itu berkata, krisis kali ini lebih buruk berbanding krisis kewangan global 2008, krisis kewangan Asia 1998 dan Kemelesetan Ekonomi Dunia pada era 1930-an.

Dalam laporan itu, Daim turut membangkitkan kenyataan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang menolak kenyataan Kementerian Kewangan bahawa 70 peratus pekerja sudah kembali bekerja, menyifatkannya “tidak menggambarkan situasi memeritkan di lapangan sekarang”.

Negara kini dalam fasa pemulihan menerusi perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), yang menurut Perdana Menteri Muhyiddin Yassin adalah sebahagian daripada strategi keluar daripada kawalan pergerakan.

Pada 30 Mei lalu, Tengku Zafrul berkata pembukaan semula ekonomi ketika PKP bersyarat menyaksikan 70 peratus tenaga kerja pelbagai sektor telah kembali bekerja.

Maklum dengan jangkaan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bahawa ekonomi global akan "menguncup" tiga peratus pada tahun ini, beliau berkata Malaysia mempunyai kemampuan untuk memacu pemulihan ekonomi pada tahun depan.

Bagaimanapun Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan bulan lalu menjangkakan lebih dua juta akan hilang pekerjaan.

Kelemahan pentadbiran PH

Mengulas lanjut, Daim berkata keadaan ekonomi diburukkan lagi dengan ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China yang belum nampak penghujungnya.

Berkenaan perkembagan politik negara, Daim berkata kegagalan pentadbiran PH adalah lemah dalam strategi komunikasi dengan rakyat, yang mewujudkan jurang kepercayaan dan akhirnya menjadikan mereka cenderung untuk terpengaruh dengan isu perkauman dan agama yang dimainkan pembangkang pada masa itu.

Selain itu, katanya lagi, PH memiliki "pandangan sempit" berkenaan manifesto PRU14 yang mengandungi janji yang sukar dilaksanakan kerana keadaan kewangan negara pada masa itu.

"Ya, janji mesti ditepati tetapi ketika kita melihat kedudukan kewangan yang ditinggalkan kerajaan selepas PRU14, mustahil untuk menunaikannya dengan segera.

"Kerajaan seharusnya memberi tahu rakyat mengapa mereka tidak dapat memenuhinya," katanya lagi sambil menambah PH akhirnya ditumbangkan beberapa individu yang mahukan kuasa politik demi kepentingan sendiri.

Lihat Komen
ADS