Skim Pelepasan Sepakat (MSS) bagi kakitangan Malaysia Airline (MAS) akan diteruskan walaupun kakitangan yang menerimanya tidak mencapai sasarannya.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Chan Kong Choy berkata syarikat penerbangan itu tidak bercadang untuk menarik balik skim tersebut.

Sehingga tarikh tutup permohonan skim itu pada 7 Jun lalu, seramai 4,500 kakitangan syarikat penerbangan itu menyertai skim itu jauh dari sasaran 6,500 orang.

Chan berkata ini kerana MAS mempunyai 1,171 kakitangan yang akan bersara tahun ini dan tahun depan, selain 2,761 kakitangan kontrak yang akan ditamatkan perkhidmatan mereka dalam tempoh tiga bulan hingga lima tahun akan datang.

"Sungguhpun tidak mencapai sasaran, MSS akan diteruskan dan ia tidak menjejaskan Rancangan Pemulihan Perniagaan MAS," katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Bernama, beliau menjawab soalan tambahan Datuk Chor Chee Heung (BN-Alor Star) yang ingin tahu adakah MAS akan membatalkan skim itu memandangkan jumlah kakitangan yang memilih skim itu tidak mencapai sasaran.

Diskaun untuk MP

MSS yang merupakan sebahagian daripada Rancangan Pemulihan Perniagaan untuk merubah syarikat penerbangan kebangsaan itu menjadi sebuah entiti perniagaan menguntungkan, telah ditawarkan kepada lebih 18,000 kakitangan Malaysia yang tetap dan yang telah disahkan di seluruh dunia.

Ketika menjawab ahli Parlimen yang sama, Chan menafikan yang MAS telah menarik balik diskaun 25 peratus yang diberikan kepada anggota Parlimen bagi perjalanan domestik.

Beliau seterusnya berjanji akan mencadangkan kepada MAS untuk memastikan 219 anggota Parlimen akan menikmati diskaun itu setiap kali mereka membuat tempahan tiket penerbangan bagi perjalanan domestik.

"Tetapi ia bergantung kepada kekosongan, tapi kalau ada, saya akan pastikan YB semua dapat diskaun," katanya sambil disambut sorakkan anggota Parlimen.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan ketua pembangkang Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) mengenai aduan kesukaran yang timbul mengenai pertukaran perjalanan bagi destinasi Sabah dan Sarawak, Chan berkata MAS masih dalam peringkat perundingan dengan syarikat penerbangan tambang murah AirAsia.

Ini, katanya, bagi memastikan operasi pertukaran itu yang akan bermula 1 Ogos depan berjalan lancar.