Menteri Penerangan Datuk Zainuddin Maidin telah menemui Tun Dr Mahathir Mohamad Ahad lalu untuk menyatakan sendiri perasaan peribadinya berhubung tindakan bekas Perdana Menteri itu mengkritik kerajaan pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Walaupun beliau seorang menteri kabinet, Zainuddin berkata, beliau menemui dan bercakap dengan Dr Mahathir dalam konteks lebih sebagai "seorang wartawan".

"Biarlah apa orang nak kata, tapi saya tak ada musuh," kata Zainuddin yang mengakui masih menganggap Dr Mahathir yang dikenalinya lebih 40 tahun lalu, sejak bertugas sebagai wartawan di Kedah, sebagai ketuanya.

"Saya seorang profesional dan saya buat apa yang parti dan kerajaan hendak secara profesional...saya yakin pada Pak Lah dan apa yang beliau lakukan," katanya.

Menurut laporan Bernama, Zainuddin berkata, dalam pertemuan itu, beliausecara ikhlas, telah meluahkan perasaan hati kalangan orang ramai dan akar umbi Umno terhadap perkembangan tidak sihat itu.

"Bagaimanapun saya dapati Dr Mahathir telah made-up his mind," katanya sambil menambah, pertemuan dua mata secara kebetulan itu berlangsung ketika menyaksikan kejohanan perlumbaan kereta GT Japan di Litar Sepang.

"Saya terus bercakap dan dia tidak marah ...reaksinya seperti yang kita baca dalam akhbar. Dia tak komen, malah dia percaya apa yang dia buat," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Rangkaian Berita Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NNN) yang dikendalikan Bernama hari ini.

Luah perasaan

Katanya, beliau juga menyuarakan kebimbangan yang dikongsi ramai bahawa keadaan tersebut, jika berterusan, akan merosakkan reputasi Dr Mahathir yang pernah memimpin negara ini selama 22 tahun.

"Saya cakap dengan ikhlas dan beritahu bahawa semakin banyak beliau (Dr Mahathir) membuat kenyataan dan semakin jauh dia campur dalam soal politik negara dan pentadbiran negara, semakin beliau melukakan hatinya sendiri.

"Juga akan menyebabkan terhakis kedudukannya sendiri yang agung, reputasinya dan nama besarnya. Sebab dalam politik seperti yang dia juga percaya, tidak ada kawan yang kekal dan musuh yang kekal dalam politik," kata Zainuddin.

Ditanya sama ada beliau yang mengenali secara rapat Dr Mahathir dan Abdullah sanggup untuk menjadi orang tengah bagi mencari penyelesaian perkara itu jika Umno memerlukan, Zainuddin berkata beliau bukan orang yang layak melakukannya kerana tidak mempunyai jawatan parti, termasuk tidak menganggotai Majlis Tertinggi Umno.

"Untuk parti saya mungkin bersedia tapi mungkin (peranan) saya tidak berkesan," katanya.

Zainuddin juga turut mengenang pelbagai krisis kepimpinan yang pernah dihadapi negara sebelum ini seperti krisis bekas Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj dan Dr Mahathir serta semasa penubuhan Umno melibatkan Datuk Onn Jaafar, namun kesemuanya berakhir dengan baik.

Katanya krisis seperti itu biasa dalam dunia politik, termasuk di luar negara.

Beliau berkata semua pihak perlu menerima hakikat bahawa dunia kian berubah dan pandangan manusia juga berubah berdasarkan situasi baru.