Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno bincang hala tuju jika p'raya mengejut diadakan

Ahli Majlis Tertinggi Umno Annuar Musa mengakui terdapat perbincangan dalam mesyuarat malam tadi mengenai hala tuju parti sekiranya pilihan raya mengejut diadakan.

Bagaimanapun menurut Annuar, perbincangan tersebut hanya dibincangkan secara umum dan tidak menyentuh lebih lanjut seperti pembahagian kerusi.

"Ada bincang secara umum (mengenai pilihan raya mengejut) tentang cakap-cakap kemungkinan nak adakan snap election tapi itu belum isu berbangkit.

"Itu semua spekulasi awal. Jadi takkan terus nak bincang bagi kerusi dah," katanya selepas selesai mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di PWTC, Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai intipati perbincangan mesyuarat tersebut dan adakah pembahagian kerusi ada dibincangkan sekiranya pilihan raya mengejut diadakan.

"Perbincangan secara umum tentang di mana letak duduk Umno, hala tuju kita, memperkasakan kedudukan kita dan juga kita bincang tentang apakah agenda yang harus kita mainkan sebagai sebuah parti teras orang Melayu - Islam.

"Kita juga dengar pandangan-pandangan termasuk daripada penasihat Umno (Tengku Razaleigh Hamzah)," katanya.

Terdahulu, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki ketika ditemui selepas mesyuarat pemuda, turut menyuarakan bahawa mereka telah bersedia sekiranya pilihan raya umum diadakan pada bila-bila masa.

"Setakat ini apa yang disuarakan pemuda banyak diambil perhatian terutama sepanjang (tempoh) Covid ini, perkara yang melibatkan kebajikan rakyat.

"Ini adalah antara fokus kita, bukan sahaja isu melibatkan ketidakstabilan kerajaan hari ini dalam konteks perlu bersiap sedia dengan PRU bila-bila masa.

"Kita nampak kerajaan ini boleh diganggu gugat oleh PH dengan berterusan memainkan sentimen keyakinan dan kepercayaan terhadap kedudukan kerajaan di bawah pimpinan (Perdana Menteri) Muhyiddin (Yassin)," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pemuda Umno petang tadi.

Katanya, adalah lebih baik sekiranya PRU diadakan pada tempoh sebenar dan apabila isi Covid-19 selesai, tetapi pemuda Umno tidak boleh mengelak sekiranya PRU diadakan lebih awal

"Tapi lantaran berterusan gangguan dan desakan pembangkang, terutama PH yang tidak putus- putus dan berhenti ganggu kestabilan kerajaan hari ini.

"Jadi akhirnya kalau ditakdirkan PM bubar (parlimen kerana tiada pilihan lain atau terbubar kerana undi tak percaya dan sebagainya, pemuda Umno mula untuk menggerakkan jentera kita di seluruh Malaysia," katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dilaporkan sedang mempertimbang bagi mendapatkan mandat untuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinannya.

Perkara itu dilaporkan Straits Times Singapura yang memetik sumber, bahawa presiden Bersatu itu bersiap sedia untuk mengadakan pilihan raya mengejut paling awal tahun ini.

Lihat Komen
ADS