Pemimpin politik perlu berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan yang menyentuh sensitiviti kaum atau agama bagi mengelakkan salah faham demi menjaga keharmonian masyarakat sedia ada, kata pengerusi DAP.

"Semua pemimpin politik sama ada daripada Barisan Nasional (BN) atau Barisan Alternatif (BA) perlu berhati-hati dalam memberi kenyataan dalam situasi semasa agar perselisihan yang menyentuh agama tidak timbul," kata Lim Kit Siang dalam kenyataannya hari ini.

Lim berkata demikian ketika mengulas kenyataan Presiden PAS Datuk Fadzil Noor yang dilaporkan hari ini dalam akhbar The Sun .

Fadzil dikatakan mengutuk tindakan pengeboman Amerika Syarikat ke atas Afghanistan dan menyifatkannya sebagai "satu usaha pelupusan komuniti Islam oleh kuasa barat".

Lim berkata kenyataan Fadzil mungkin mendatangkan salah faham dan menjejas keharmonian masyarakat pelbagai agama di negara ini.

"Tiada siapa boleh menyalahkan pendirian PAS yang mengutuk tindakan serangan Amerika ke atas rakyat Afghanistan yang tidak bersalah, tetapi kenyataan Datuk Fadzil bahawa serangan itu adalah sebagai satu usaha pelupusan komuniti Islam boleh mencetuskan reaksi yang menggugat keharmonian kaum di Malaysia," jelasnya.

Beliau berkata, DAP bersedia untuk bekerjasama dengan BN, BA dan kumpulan daripada semua agama yang ada bagi mewujudkan kesefahaman antara agama dalam masyarakat.

Katanya lagi, kerajaan juga perlu memikirkan cara untuk menambah kesefahaman di kalangan rakyat dan tahap keselamatan negara selepas kejadian serangan pengganas di Amerika Syarikat pada 11 September lalu.

Beliau juga turut mengutuk kebakaran empat gereja tempatan sejak dua minggu lalu dan menyeru semua parti politik bersatu dalam mengekalkan keharmonian dalam masyarakat majmuk di negara ini.

Dalam siasatan

Dalam pada itu, jurucakap polis Bukit Aman ASP Shamsudin Ali yang dihubungi malaysiakini berkata, pihak berkuasa masih menyiasat kes kebakaran yang berlaku di Pusat Komuniti Kristian di Subang Jaya (Selangor), Sabtu lalu serta kes kebakaran gereja di Segamat (Johor) serta Gurun dan Sungai Petani di Kedah.

Beliau juga berharap perkara itu tidak diperbesarkan-besarkan kerana ia mungkin akan menyentuh sensitiviti agama tertentu.