Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Noh Omar letak jawatan pengerusi MISC selepas 17 hari dilantik
Diterbitkan:  Jun 18, 2020 3:01 PM
Dikemaskini: 8:15 AM

Ahli Parlimen Tanjung Karang Noh Omar meletakkan jawatan sebagai pengerusi syarikat subsidiari Petronas, MISC Bhd, hanya 17 hari setelah dilantik ke jawatan itu.

Perkara itu diumumkan MISC dalam satu kenyataan hari ini, yang turut memaklumkan peletakan jawatan itu berkuat kuasa semalam.

"Tan Sri Noh Omar membuat keputusan untuk meletakkan jawatannya setelah perbincangan dengan Perdana Menteri (Muhyiddin Yassin).

"Tan Sri Noh Omar mengucapkan selamat maju jaya kepada lembaga pengarah dan pengurusan MISC untuk mengangkat syarikat ke tahap lebih tinggi.

"Lembaga pengarah MISC juga mengucapkan selamat maju jaya kepada Tan Sri Noh Omar," kata syarikat itu.

Peletakan jawatan itu turut diumumkan di laman web Bursa Malaysia hari ini.

Pada 1 Jun lalu, Noh yang merupakan bekas menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan dilantik menjadi pengerusi MISC bagi menggantikan Ab Halim Mohyiddin yang kekal sebagai pengarah bebas syarikat itu.

Syarikat itu dahulunya dikenali sebagai Malaysia International Shipping Corporation dan diasaskan oleh ahli perniagaan Robert Kuok pada 1968.

Syarikat itu kemudian dibeli Petronas, yang kini memiliki 57.56 peratus pegangan.

Menurut laporan tahunan 2019 MISC, Ab Halim ketika memegang jawatab pengerusi mendapat pendapatan dan elaun mesyuarat berjumlah RM278,500 pada tahun itu.

MISC membayar pengerusinya sebanyak RM20,000 sebulan, dan RM10,000 sebulan untuk ahli lembaga pengarah.

Pada 2019, syarikat itu meraih keuntungan sebanyak RM1.43 bilion.

Lihat Komen
ADS