Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laporan: Saya tak sasar apa-apa jawatan persekutuan - Shafie
Diterbitkan:  Jun 18, 2020 4:13 PM
Dikemaskini: 8:13 AM

Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal berkata beliau tidak menyasarkan apa-apa jawatan di peringkat pusat, di tengah-tengah rundingan pembangkang berhbung calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri.

Beliau berkata tumpuannya pada masa ini adalah untuk mentadbir Sabah.

"Ada banyak cadangan sekarang. Malah dalam kerajaan sekarang, ada pertimbangan untuk orang Sabah dan Sarawak. Tetapi saya tidak menyasarkan apa-apa jawatan.

"Hanya kerana anda ada jawatan tak bermaksud segalanya akan diserahkan kepada anda. Ada banyak jawatan yang dipegang (pemimpin) Sabah dan Sarawak - kita pernah ada menteri hal ehwal Sabah dan Sarawak, timbalan menteri dalam negeri, apa yang mereka telah lakukan?" soalnya seperti dipetik the Malay Mail hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas spekulasi bahawa namanya dicadangkan sebagai calon timbalan perdana menteri pembangkang, atau "PH plus".

Sabtu lalu, portal itu memetik sumber sebagai berkata, Shafie antara nama yang dicadangkan sebagai timbalan perdana menteri bersama-sama Presiden PKR Anwar Ibrahim, dengan Dr Mahathir Mohamad sekali lagi mengetuai pentabdiran.

PH plus - terdiri daripada PH, Warisan dan anggota Parlimen yang menyokong Mahathir - dalam usaha merampas kembali kerajaan persekutuan daripada Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun usaha itu berdepan masalah kerana tiada persetujuan dicapai bagi calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri.

Semalam, Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke berkata PH plus meneroka dua pilihan - iaitu kombinasi Anwar-Mukhriz Mahathir dan Mahathir-Anwar.

Kombinasi Mahathir-Anwar dicadangkan selepas kombinasi pertama tidak dipersetujui Warisan, katanya.

Katanya lagi, dengan pilihan gandingan Mahathir - Anwar itu, mereka menyerahkan kepada presiden PKR berkenaan untuk membuat keputusan sama ada menerimanya atau tidak. Bagaimanapun PKR masih belum memberi jawapan di sebalik tarikh akhir 16 Jun.

Beliau juga berkata Shafie tidak pernah termasuk dalam rundingan sebagai calon untuk kombinasi baru itu.

PKR dijangka mengadakan mesyuarat tergempar esok untuk membincangkan perkara itu.

Lihat Komen
ADS