Kementerian Kewangan yang memilih Perangsang International Sdn Bhd (PISB) untuk membina bangunan Matrade selepas menolak perakuan Kementerian Kerjaraya yang mencadangkan syarikat lain yang membuat tawaran lebih baik.

PISB, yang kini sudah dibubarkan, telah dipersalahkan berikutan kelewatan selama sembilan tahun pembinaan bangunan Matrade.

Sepanjang tempoh tersebut, kos pembinaan telah meningkat sebanyak 70 peratus. Projek tersebut disiapkan bulan lalu oleh kontraktor lain.

Menteri Kerjaraya, Datuk Seri S Samy Vellu berkata, pada bulan Jun 1993, kementeriannya membuat perakuan supaya projek tersebut diserahkan kepada syarikat Ireka Construction Bhd, tetapi ditolak oleh Kementerian Kewangan.

Menurutnya, 14 syarikat pembinaan telah mengemukakan cadangan harga bagi projek tersebut, termasuk PISB syarikat milik Kerajaan Negeri Selangor dan dan Ireka Construction.

Kementerian Kerjaraya memperakukan Ireka Construction kerana mengemukakan cadangan harga RM158 juta, iaitu 15 peratus lebih rendah daripada anggaran bajet kementeriannya, kata Samy Vellu ketika sesi soal-jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Syarikat itu juga mencadang untuk menyiapkan projek tersebut dalam tempoh 138 minggu (dua tahun enam bulan), dan pada masa yang sama, syarikat berkenaan tidak mempunyai beban kerja, dan hanya mengendalikan satu projek sahaja.

Cadangan PISB pula tidak diterima kerana cadangan harga (RM154 juta ) terlalu rendah dan 19 peratus lebih rendah daripada bajet anggaran kementerian, kata Samy Vellu dalam jawapannya kepada Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian).

Samy Vellu juga menjelaskan PISB telah mengemukakan cadangan kos bagi 'wall cladding' sebanyak RM3 juta, berbanding anggaran kementerian sebanyak RM15 juta, tanpa mengemukakan rekabentuknya.

Menurutnya lagi, pada 10 November, Kementerian Kewangan telah mengarah kementeriannya supaya berunding secara terus dengan PISB mengenai projek tersebut.

Selepas selesai rundingan tersebut, Kementerian Kewangan meluluskan projek berkenaan kepada PISB pada harga RM167 juta pada Disember 1993. Surat tawaran dikeluarkan pada bulan berikutnya.

Menteri Kewangan yang juga Timbalan Perdana Menteri ketika itu ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

'Buka mata, buka mulut'

Ketika menjawab soalan tambahan Salahuddin mengapa perakuan itu ditolak, Samy Vellu berkata, kementeriannya hanya bertindak sebagai ejen antara kontraktor dengan Kementerian Kewangan dan tidak berkuasa membuat keputusan muktamad.

Tanggungjawab kementeriannya, tambah Samy Vellu, adalah untuk menilai tender dan membuat syor kepada Kementerian Kewangan dan pihaknya tidak boleh mempersoalkan jika perakuannya ditolak.

Mengenai kelewatan projek berkenaan dan kos tambahannya, Samy Vellu berkata, beliau akan menyiasat perkara itu, sambil menambah, beliau juga sedar bahawa kerajaan mungkin tidak akan mendapat pampasan kerana syarikat terbabit telah dibubarkan.

"Jika kita biarkan ini berlaku, maka pada masa depan, semua syarikat akan dapatkan projek kerajaan, dapatkan bayarannya dan tutup syarikat. Kita buka mata, buka mulut sajalah," katanya ketika menjawab soalan Mohd Alwi Che Ahmad (BN-Keterah).

"Kita tidak boleh biarkan mereka lari. Kita mahu ambil tindakan terhadap bos dan para pengarah syarikat, (semak) di mana syarikat ditubuhkan, dan siapa pengarahnya ketika itu," katanya.

Samy Vellu berkata, beliau telah menyampaikan mesej yang sama kepada Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail untuk menyiasat perkara tersebut.

Pembinaan bangunan Matrade bermula pada 1994 dan dijadual siap pada 1997, tetapi ia tergendala dan terpaksa dilantik kontraktor baru. Kos asalnya ialah RM167 juta, (tetapi) naik kepada RM287.5 juta, dengan RM64.8 juta dibelanjakan untuk kerja-kerja pembaikan.

Samy Vellu dilaporkan berkata, beliau sendiri telah menyiasat PISB dan pengarahnya, dan semua bukti terkumpul itu akan dikemukakan jika ada perbicaraan. Beliau tidak memberi butir-butir lanjut tetapi mendedahkan, pada tahun 2004, saham PISB telah dijual kepada Tajuk Modal Sdn Bhd.

PISB adalah anak syarikat Kumpulan Hartanah Selangor Bhd syarikat pelaburan Kerajaan Negeri Selangor.

Malaysiakini telah melaporkan bahawa pemilik baru PISB telah membubarkan syarikat tersebut setahun selepas membelinya. Terjemahan