Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan seramai 127 pesakit Covid-19 telah pulih dan dibenarkan pulang hari ini, menjadikan jumlah pesakit pulih seramai 8,000 orang atau 93.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Terdapat 14 kes baru setakat pukul 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah kes sebanyak 8,529 kes.

"Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 408 kes," kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan.

Katanya, daripada 14 kes baru itu, tiga adalah kes import melibatkan dua warga Malaysia seorang warga asing berstatus penduduk tetap.

Daripada 11 kes penularan tempatan, tujuh melibatkan warga asing dan empat warga tempatan, katanya lagi.

Noor Hisham turut memaklumkan seramai empat pesakit kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dan tiada lagi yang memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau juga berkata tiada kematian baru dilaporkan pada hari ini, menjadikan angka korban Covid-19 kekal 121 kes iaitu 1.42 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Berikut adalah maklumat berkenaan tujuh kes melibatkan bukan warganegara:

Kuala Lumpur (2 kes):

- Kontak rapat dengan pesakit positif (kes ke-8455 dan kes ke-8508). Mereka adalah rakan serumah.

- Kontak rapat dengan pesakit positif (kes ke-8498). Mereka adalah rakan serumah.

Selangor (1 kes): Kontak rapat kepada pesakit positif (kes 8368). Mereka mempunyai pertalian keluarga.

Sarawak (2 kes): Dikesan melalui ujian saringan di tempat kerja sektor pembinaan.

Sabah (1 kes): Dikesan melalui ujian saringan orang kena tangkap (OKT) di lokap IPD Penampang.

Perak (1 kes): Dikesn melalui ujian saringan sebelum memohon pulang ke negara asalnya.

Berikut adalah maklumat berkenaan empat kes melibatkan warga tempatan:

Kuala Lumpur: Dua kes kluster pusat tahanan Imigresen Bukit Jalil. Kedua-duanya adalah kakitangan Jabatan Imigresen.

Sarawak (dua kes):

- Dikesan melalui ujian saringan prapembedahan di Hospital Umum Sarawak, Kuching.

- Dikesan melalui ujian saringan untuk ke luar negara atas urusan penting.

Pendekatan tertumpu di depot tahanan

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata KKM telah menjalankan saringan Covid-19 di depot-depot tahanan Imigresen, sebagai salah satu pendekatan tertumpu bagi kumpulan berisiko tinggi dijangkiti wabak itu.

"Lokasi-lokasi ini telah dikenal pasti berisiko tinggi dalam penularan jangkitan Covid-19 susulan didapati berlakunya jangkitan di kalangan OKT (orang kena tangkap)."

Katanya, antara yang terlibat adalah OKT baru di depot tahanan, OKT yang bakal dihantar ke negara asal, semua kakitangan yang bertugas di pusat tahanan dan persampelan secara rawak sebagai penilaian risiko.

"Sehingga pukul 12 tengah hari 18 Jun, sebanyak 13,149 individu telah menjalani persampelan di mana 782 kes telah dikesan positif, 11,564 adalah negatif dan 803 masih menunggu keputusan.

"Daripada jumlah kes positif, tujuh kes adalah di kalangan warga tempatan manakala 775 bukan warganegara," katanya lagi.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.