Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Permohonan Ahmad Maslan batalkan pertuduhan didengar 9 Julai

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menetapkan 9 Julai ini untuk mendengar permohonan Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan untuk membatalkan pertuduhan pengubahan wang haram dan memberi penyataan palsu yang dihadapinya.

Hakim Azman Ahmad menetapkan tarikh itu ketika pengurusan kes di hadapan beliau hari ini.

Peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad sebelum itu memberitahu mahkamah, kedua-dua pihak telah memfailkan hujahan berhubung permohonan anak guamnya di mahkamah.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar mengesahkan perkara itu.

Mohd Mukhzany Fariz yang dibantu Timbalan Pendakwa Raya Siti Noor Hafizan Zakaria turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya telah menyerahkan dokumen-dokumen berkaitan kepada pihak pembelaan pagi ini.

Ahmad, 54, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar berjumlah RM2 juta yang diterima daripada bekas Perdana Menteri Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan Bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Bekas timbalan menteri kewangan itu didakwa telah menerima wang tersebut daripada Najib, yang dipercayai sebagai hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang, melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 Nov 2013, dan cek itu telah ditunaikan sendiri oleh Ahmad, pada hari yang sama.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim pada 30 April, 2014.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Ahmad didakwa telah memberi penyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa percakapannya dirakam oleh pegawai penyiasat agensi terbabit iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa Mohd Zairi Zainal, berhubung isu itu di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, antara 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 32(8)c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS