Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mesyuarat dengan pembangkang: Afif nafi ada pegawai bernama Hery

Adun Seberang Jaya di Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin, hari ini menafikan pihaknya ada menggunakan khidmat individu bernama Hery sebagai pegawai khas beliau.

Nama Hery menjadi perhatian selepas tular mesej mendakwa Afif akan mengadakan pertemuan dengan Adun pembangkang Pulau Pinang di Bukit Mertajam, Seberang Perai Tengah, jam lima petang ini.

Dikatakan juga terdapat kemungkinan “berita sensasi” susulan mesyuarat itu.

Makluman tersebut memetik sumber dalaman dan tertera nombor telefon, dipercayai individu yang bertanggungjawab menguruskan mesyuarat tersebut.

Afif merupakan Adun PKR yang digantung keanggotaannya kerana didakwa bersekutu dengan Azmin Ali itu dikatakan sedang mengusahakan mesyuarat bersama Adun PAS, Umno dan PKR di Pulau Pinang.

Berdasarkan makluman kepada media yang dilihat Malaysiakini, pertemuan berkenaan bakal diadakan di pusat khidmat Afif Bukit Mertajam City Mall pada jam lima petang ini.

Ketika dihubungi, individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai khas Afif mengesahkan kesahihan mesyuarat tersebut.

Bagaimanapun, katanya, tiada undangan rasmi dihantar kepada media.

“Benar ada perjumpaan dijadualkan di Bukit Mertajam City Mall petang ini tetapi tiada sebarang sidang media akan dibuat.

“Tetapi memandangkan dah tular. 

"Silakan hadir ke BM City Mall jam lima petang ini,” kata pegawai khas tersebut yang memperkenalkan dirinya sebagai “Hery”.

Tambahnya, rancangan mesyuarat tersebut dirahsiakan sejak seminggu lalu tetapi tidak tahu bagaimana ia tular dan dikongsi kepada media hari ini.

Sementara agenda utama masih tidak jelas, mesyuarat tersebut diadakan di tengah-tengah ketidaktentuan politik selepas peralihan kuasa daripada Pakatan Harapan kepada Perikatan Nasional.

Beberapa Adun yang dihubungi Malaysiakini berkata mereka tidak tahu menahu berkaitan mesyuarat yang didakwa akan diadakan tersebut.

Sumber lain pula berkata mesyuarat itu diadakan bagi merancang bagaimana menjadi “pembangkang yang baik di Pulau Pinang”, setelah jumlah mereka meningkat daripada tiga ke enam daripada 40 Adun.

Afif bersama Adun Gombak Setia, Hilman Idham, membentuk NGO baru yang digelar Pemuda Negara dengan membariskan penyelaras yang bergiat bersama PKR sebelum ini.

PKR masih belum menentukan status keahlian Afif.

Namun wakil rakyat penggal kedua itu terpaksa melepaskan jawatannya sebagai exco negeri atas nasihat dari Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Kedudukan Afif dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) pula diletakkan di blok pembangkang.


Laporan tambahan oleh Susan Loone.

Lihat Komen
ADS