Pekerja Nepal di Malaysia telah mengutip 30,000 tandatangan dalam tempoh seminggu untuk menggesa kerajaan Nepal menunaikan komitmennya untuk memulihkan kedamaian di negara itu.

Pada masa ini, pakatan tujuh parti dan Parti Komunis Nepal (Maoist) sedang mengadakan perundingan mengenai penghapusan sistem beraja dan menubuhkan republik yang demokratik.

Dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam, jurucakap Pertubuhan Pekerja Nepal, Shram Saptahik berkata "perang antara mereka yang bertelagah' telah memaksa rakyatnya meninggalkan negara mereka untuk mencari pekerjaan di tempat lain.

"Ianya bukan kehendak kami. Kami mahukan keamanan dan pekerjaan yang sempurna. Kami mahu bekerja dan menyambung pelajaran di negara kami sendiri," katanya.

Memandangkan golongan pekerja adalah kelas teramai di Nepal, maka pekerja di negara-negara lain juga perlu menunjukkan sokongan mereka terhadap proses damai, katanya.

"Kerajaan tidak pernah mahu mendengar apa yang kami katakan (walaupun kami adalah golongan terbesar di Nepal). Kami menuntut hak berhijrah dan pulihkan kedamaian," katanya.

Rundingan damai

"Kami berharap masyarakat antarabangsa mengikuti (rundingan damai) bagi memastikan kerajaan mendengar suara kami," katanya.

Tandatangan tersebut diserahkan kepada Kedutaan Nepal, bagi menuntut dipulihkan kedamaian yang berkekalan, diberi hak samarata dan kemudahan lain dalam persidangan perlembagaan yang akan datang, peluang pekerjaan dan berhenti memaksa rakyat berhijrah dan mengeksploitasi pekerja.

Nepal juga diminta supaya mengesahkan konvensyen PBB mengenai hak pekerja hijrah, mewujudkan pemantauan proses pengambilan pekerja, menyediakan perlindungan insurans bagi pekerjaan yang berbahaya dan memastikan pekerja Nepal dikendalikan dengan cekap oleh misi diplomatic di negara tempat mereka bekerja.

Pengarah Tenaganita, Irene Fernandez turut menyuarakan sokongannya terhadap usaha tersebut.

"Demi kepentingan rakyat, kita, sebagai sebahagian daripada masyarakat antarabangsa, sokong (mereka) sebagai sebahagian usaha memaju dan memperkukuhkan proses damai dan pemerintahan demokrasi," katanya.

Terdapat kira-kira 500,000 pekerja Nepal di Malaysia, iaitu jumlah kedua terbesar selepas pekerja Indonesia. Terjemahan