mk-logo
Berita
Adham minta usah bersangka buruk hubungan dengan Noor Hisham
Diterbitkan:  Jun 21, 2020 2:33 PM
Dikemaskini: 6:33 AM

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba menggesa semua pihak menghentikan buruk sangka mengenai hubungan beliau dengan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Menerusi wawancara bersama Berita Harian, Adham berkata bahawa ia penting supaya kementeriannya tidak akan terganggu dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.

“Untuk melancarkan peperangan terhadap Covid-19, kita tidak boleh bergaduh.

“Tentera (barisan depan) kita perlu berada dalam satu barisan. Pembahagian tugas perlu diadakan. Paling penting lihat dasar yang ingin dikemukakan,” katanya.

Menurut Adham, pergolakan dan perbalahan itu hanya akan meletakkan negara dalam situasi tidak menguntungkan semasa memerangi Covid-19.

Selain itu, Adham berkata bahawa beliau memerlukan “jeneral perang” untuk berada di sisinya.

“Sebagai menteri baru yang dilantik pada 10 Mac, saya tidak ada banyak masa untuk lihat dasar kementerian sampai hari ini.

“Tumpuan saya untuk menyediakan jeneral perang melawan Covid-19 ini.

“Alhamdullilah saya dapat kerjasama semua kementerian, tetapi bawah saya ada seorang ketua pengarah dan ketua setiausaha yang memainkan peranan,” katanya lagi.

Sudah capai fasa pemulihan

Adhma juga menyatakan selain beliau, ketua pengarah adalah individu yang bertanggungjawab memberi angka sahih membabitkan penularan wabak Covid-19.

Maka, beliau meminta Noor Hisham untuk menjadi jurucakap tetap dan bekerja rapat dengan media kerana sentiasa berada di lapangan.

“Saya minta ketua pengarah memberikan data terkini kerana ia penting supaya dapat kawal kekalutan jika tidak dapat maklumat tepat.

“Sebagai penjawat awam, ketua pengarah kesihatan juga bertanggungjawab memastikan saya melaksanakan tanggungjawab dengan teratur dan tepat dalam melaksanakan strategi," katanya.

Merujuk dirinya sebagai panglima perang, Adham berkata beliau yang akan menjawab persoalan di parlimen dan bukannya ketua pengarah.

Gambar fail

“Sebagai panglima perang, saya tulang belakang kepada kementerian.

“Untuk itu, akan sampai masa saya untuk berdepan masyarakat apabila saya menjawab di parlimen.

“Ketua pengarah kesihatan tidak akan menjawab di parlimen, sebaliknya menteri dan timbalan menteri,” katanya lagi.

Adham juga berkata susulan negara sudah mencapai fasa pemulihan, kementeriannya kini sudah mengurangkan kenyataan kepada hanya beberapa hari.

“Kalau kementerian itu kalut dan bergolak, ia bukan satu peperangan yang adil. Jadi, ia perlu ada asas yang kukuh. Mana-mana pihak yang berburuk sangka itu saya harap hentikanlah,” katanya lagi.

Dalam mengawal berita palsu membabitkan kementerian itu, Adham berkata pihaknya sudah membuat laporan kepada pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta tindakan sivil.

Jelasnya, beliau tidak mahu ada sebarang perbalahan dalam kementeriannya sehingga memberi peluang kepada pihak lain untuk mengambil kesempatan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS