NST siar surat jawapan Kadir Jasin
Ketua Pengarang kumpulan akhbar New Straits Times Press (NSTP), Datuk Hishamuddin Aun menunaikan janjinya untuk menyiarkan surat penjelasan daripada Datuk A Kadir Jasin dalam akhbar New Straits Times (NST) hari ini.
Ketua Pengarang kumpulan akhbar New Straits Times Press (NSTP), Datuk Hishamuddin Aun menunaikan janjinya untuk menyiarkan surat penjelasan daripada Datuk A Kadir Jasin dalam akhbar New Straits Times (NST) hari ini.
Surat penjelasan Kadir itu disiarkan dalam halaman surat pembaca di muka surat 26 akhbar berkenaan. Surat Kadir itu bertajuk 'Draw your own conclusions' .
Semalam dalam mesyuarat agung tahunan kumpulan NSTP di ibunegara Hishamuddin memberi komitmen kepada Kadir untuk menyiarkan surat penjelasannya di akhbar berkenaan bagi menjawab segala dakwaan Timbalan Pengerusi kumpulan NSTP, Datuk Kalimullah Hassan dalam rencana bertajuk
'Political tiffs and intrigues not new'
yang disiarkan akhbar tersebut semalam.
Kadir menuntut komitmen Hishamuddin dalam mesyuarat agung tersebut kerana telah beberapa kali akhbar berkenaan tidak menyiarkan surat penjelasan beliau berhubung pelbagai tuduhan yang dilemparkan kepadanya.
Semalam dalam kenyataannya kepada malaysiakini, Kadir memberitahu, dengan bersaksikan Pengerusi dan ahli lembaga pengarah NSTP, beliau telah meminta komitmen Hishamuddin supaya menyiarkan tulisannya jika beliau memilih untuk menjawab dakwaan-dakwaan Kalimullah itu.
Antara lain, di dalam rencananya itu, Kalimullah telah mendakwa Kadir adalah antara orang yang banyak menerima projek pada zaman pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad. Antara projek tersebut, menurut Kalimullah ialah tiga projek Pembekal Tenaga Bebas (IPP).
Penyokong Dr M
Dalam tulisan tersebut Kalimullah yang merupakan penasihat jabatan pengarang NSTP turut mendakwa, jualan akhbar New Straits Times telah merosot dan jatuh jauh ke tempat kedua di belakang akhbar The Star ketika diterajui oleh Kadir.
Menurut Kalimullah lagi, Kadir terus kekal sebagai penyokong kuat Dr Mahathir dan kini sering mengkritik pentadbiran Abdullah dalam tulisannya di lamanweb, blog peribadinya dan majalah Malaysian Business yang diterbitkan oleh Berita Publishing.
Kadir juga didakwa berkawan dan mempunyai hubungan saudara dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Dr Mahathir.
Berhubung dakwaan-dakwaan Kalimullah itu, Kadir mengakui di dalam suratnya beliau adalah kawan kepada Anwar dan Dr. Mahathir tetapi menafikan mempunyai hubungan saudara dengan kedua-dua bekas pemimpin negara itu.
Mengenai dakwaan beliau dan rakan kongsinya mendapat banyak projek termasuk IPP, Kadir menjelaskan kaitannya dengan projek IPP itu adalah menerusi hubungan anak-anak syarikat kumpulan Malaysia Resources Corporation Berhad (MRCB).
Menurutnya, pemilik sebenar IPP berkenaan ialah anak syarikat MRCB, Realmild Sdn Bhd manakala beliau dan tiga lagi rakan kongsinya menguasai NSTP dan TV3 menerusi satu skim pengambilalihan pengurusan (MBO).
MBO itu dilakukan pada awal tahun 1990-an dan di bawah perjanjian tersebut, NSTP dan TV3 kekal sebagai anak syarikat MRCB.
Media Prima
"Kami mempunyai kaitan dengan projek-projek IPP itu berdasarkan kedudukan Realmild, NSTP dan TV3 sebagai anak-anak syarikat MRCB," tambahnya.
Bagaimanapun, menurut Kadir lagi, ketika ini pemilik NSTP ialah Media Prima sebagaimana dinyatakan sendiri oleh Kalimullah di dalam rencananya itu. Media Prima pula dikuasai oleh pihak-pihak yang rapat dengan Umno.
Menyentuh tentang penjualan Berita Publishing Sdn Bhd oleh NSTP kepada beliau pada harga RM1 pula, wartawan veteran itu menjelaskan, pakej pengambilalihan itu adalah sebagai ganti kepada tindakannya melepaskan pegangannya dalam Realmild, NSTP dan TV3.
Jelas Kadir lagi, beliau ditawarkan untuk memilih antara bayaran tunai atau mengambilalih Berita Publishing dan beliau telah memilih untuk mengambilalih syarikat penerbitan tersebut.
Menurutnya, ketika Berita Publishing diambilalih pada tahun 2000, ia menanggung hutang RM3.8 juta dan setelah ditolak dengan modal sahamnya, dana pemegang sahmnya hanya tinggal RM157,073.
Kadir menegaskan, pembelian Berita Publishing itu tidak boleh dibandingkan dengan penjualan anak syarikat Proton, MV Agusta pada harga 1 Euro kerana NSTP bukannya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tetapi sebuah syarikat yang dikuasai bumiputera dan ia tidak membabitkan jumlah wang yang besar.
Berhubung dakwaan Kalimullah yang mengatakan jualan akhbar NSTP merosot pada zamannya, Kadir menyatakan, beliau telahpun menjelaskan mengenai perkara itu sebelum meninggalkan syarikat akhbar itu pada tahun 2000.
Kolum 'Other Thot'
Penjelasan itu dibuat di dalam kolum 'Other Thots' yang disiarkan dalam akhbar New Sunday Times.
Menurut Kadir, di dalam tulisannya itu beliau mengakui bertanggungjawab terhadap segala urusan akhbar berkenaan termasuk kemerosotan jualannya.
Bekas Ketua Pengarang NSTP itu juga mengakui, bersama dengan bekas pembantu Dr Mahathir, Jalaludin Bahaudin, beliau pernah mencadangkan supaya RTM dan Bernama diswastakan. Bagaimanapun cadangan tersebut ditolak oleh kerajaan ketika itu.
Mengenai dakwaan Kalimullah yang beliau adalah penyokong kuat Dr Mahathir dan sering mengkritik kerajaan menerusi laman blog nya dan majalah Malaysian Business , Kadir berkata terserahlah kepada budicara Timbalan Pengerusi kumpulan NSTP itu untuk menilainya.
Timbalaan Pengerusi NSTP itu turut membangkitkan soal pembelian anak syarikat NSTP, Berita Publisihing Sdn Bhd oleh Kadir pada harga RM1, yang menurutnya lebih kurang sama dengan penjualan syarikat pengeluar motosikal M V Agusta pada harga 1 Euro.
Rencana Kalimullah itu disiarkan berikutan kritikan terbaru Dr Mahathir terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam satu majlis dialog di Taman Melawati, Hulu Kelang, Selangor Sabtu lalu.
Kadir yang juga Ketua Pengarang Kumpulan Berita Publishing, turut menghadiri majlis dialog tersebut di samping beberapa veteran Umno lain seperti Tan Sri Megat Junid Megat Ayob, bekas ahli Umno Datuk Ibrahim Ali dan para pemimpin PAS dan DAP.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.