Skandal Matrade: Pemilik Tajuk Modal dakwa tidak tahu apa-apa
Salah ahli perniagaan yang membeli Perangsang International Sdn Bhd (PISB) yang gagal menyiapkan pembinaan bangunan Matrade, mendakwa beliau 'tidak tahu apa-apa' mengenai urusniaga tersebut.
Salah ahli perniagaan yang membeli Perangsang International Sdn Bhd (PISB) yang gagal menyiapkan pembinaan bangunan Matrade, mendakwa beliau 'tidak tahu apa-apa' mengenai urusniaga tersebut.
"Saya tidak tahu apa-apa mengenai kes tersebut," kata Chong Sang, 56, salah seorang daripada dua pemilik syarikat Tajuk Modal yang membeli PISB dua tahun lalu, ketika dihubungi malaysiakini awal minggu ini.
Chong mendakwa, semua dokumen berkaitan dengan pembelian PISB dikendalikan oleh rakan niaganya Yap Fook Sang, seorang lagi pengarah Tajuk Modal.
Bagaimanapun, usaha untuk menghubungi Yap tidak berjaya.
Difahamkan, Badan Pencegah Rasuah (ACA) telah memulakan siasatannya terhadap skandal Matrade minggu lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor Teng Chang Khim yang membuat laporan kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC) minggu lalu berkata, BPR, SC dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, telah menjalankan penyiasatan masing-masing terhadap skandal tersebut.
Teng berkata, ACA telah merampas fail-fail syarikat Tajuk Modal daripada pejabat setiausaha syarikat berkenaan di Taman Maluri, Kuala Lumpur.
Ketika dihubungi, seorang pegawai BPR yang tidak mahu namanya disebut, telah mengesahkan siasatan telah dijalankan tetapi enggan memberi butir-butir lanjut mengenainya.
Tajuk Modal Sdn Bhd, sebuah syarikat RM2, telah membeli PISB pada tahun 2004 dengan harga RM2 dari Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) sebuah syarikat milik kerajaan negeri.
Sejurus kemudian, PISB telah menukar namanya kepada Tajuk Construction dan syarikat itu kemudiannya dibubarkan pada bulan Januari tahun ini, walaupun telah menerima arahan daripada kerajaan pusat supaya membayar gantirugi sebanyak RM159.8 juta kerana kelewatan menyiapkan bangunan Matrade selama sembilan tahun.
Teng juga berkata, Suruhanjaya Syarikat telah menemui setiausaha syarikat KHSB, Norlida Jamaluddin minggu lalu.
Apabila ditanya mengapa Tajuk Modal membeli PISB sedangkan ia mempunyai liabiliti sebanyak RM18 juta, Chong berkata: "Saya tidak faham syarikat itu dibubarkan...kami beli sahamnya sebanyak RM2 dengan harapan untuk membuat wang daripadanya.
"Saya tidak tahu berbahasa Inggeris," beliau mengaku.
Cuba tipu kerajaan pusat?
Malaysiakini
pergi ke alamat berdaftar Tajuk Modal dan mendapati pejabat berkenaan milik sebuah syarikat perunding perakaunan.
Syarikat berkenaan, SF Wong Associates, menjadi setiausaha syarikat kepada lebih 200 syarikat termasuk Tajuk Modal. Ia juga dilantik sebagai penyelesai ketika proses pembubaran PISB.
Bagaimanapun, penyambut tetamu syarikat berkenaan enggan memberitahu sebarang maklumat mengenai Tajuk Modal.
Projek Matrade diserahkan kepada PISB, sebuah syarikat hartanah, tetapi kontrak tersebut telah ditamatkan kerana berlaku kelewatan dan mutu pembinaan yang rendah.
Kerja-kerja pembinaan bangunan Matrade dimulakan pada tahun 1994 dan dijadualkan siap pada 1997. Bagaimanapun, projek tersebut hanya dapat disiapkan tahun ini selepas dilantik kontraktor baru.
Kos asal pembinaannya ialah RM167 juta tetapi melonjak kepada RM287.5 juta, dengan RM64.8 juta dibelanjakan untuk kerja-kerja pembaikan.
Menurut pengumuman Bursa Malaysia pada 10 Julai 2003, PISB telah menerima notis daripada Jabatan Kerja Raya tujuh hari sebelumnya, menuntut bayaran pembaikan berjumlah RM44,245,594 bagi projek pembinaan bangunan Matrade.
Jumlah tersebut kemudiannya meningkat menjadi to RM159.8 juta sepertimana yang didedahkan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S Samy Vellu Februari lalu.
Keputusan Tajuk Modal untuk membubarkan PISB bukan sahaja melepaskan syarikat bekenaan daripada membayar RM159.8 juta denda kepada kerajaan pusat, tetapi juga hutangnya sebanyak RM22 juta.
Keseluruhan episod yang membabit penjualan, penamaan semula serta pembubaran PISB telah menimbulkan kemungkinan ia adalah perancangan kerajaan Selangor sejak tahun 2003 untuk 'menipu' kerajaan pusat dan mengelak daripada membayar pampasan tersebut.

