Paling Popular
Terkini

Umno mengambil tindakan penggantungan terhadap Umno bahagian Tanah Merah berkuat kuasa 16 Jun lalu.

Satu notis pemberitahuan yang dilihat Malaysiakini memaklumkan perkara itu kepada Umno negeri Kelantan untuk diambil tindakan lanjut.

Notis yang ditandatangani Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan itu berkata, mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada 16 Jun lalu memutuskan status Umno bahagian Tanah Merah digantung.

"Sehubungan itu badan perhubungan Umno negeri dikehendaki menubuhkan jawatankuasa protem (sementara) dan diambil tindakan sewajarnya," kata notis berkenaan.

Bagaimanapun notis tersebut tidak menjelaskan sebarang alasan mengapa tindakan penggantungan itu diambil.

Pengerusi Umno Kelantan, Ahmad Jazlan Yaakub ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan perkara itu.

Sementara itu penyandang pemangku ketua bahagian Tanah Merah, Almidi Jaafar berkata, pihaknya sudah dimaklumkan berkenaan perkara itu dan menghormati keputusan parti.

"Kita sudah dimaklumkan mengenainya dan kita menghormati keputusan parti.

"Notis tersebut memang tidak menjelaskan sebarang sebab, dan saya difahamkan ia berkait dengan isu-isu lama khususnya selepas berlaku perubahan pimpinan peringkat bahagian.

"Susulan tindakan penggantungan ini, saya akan buat permohonan rayuan terlebih dahulu kepada parti," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sebagai rekod, Umno bahagian Tanah Merah sebelum ini diketuai oleh Ikmal Hisham Abdul Aziz yang juga anggota parlimen bagi kawasan itu.

Bagaimanapun beliau bertindak keluar parti selepas Pakatan Harapan (PH) menumbangkan BN pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu dan menyertai Bersatu.

Lihat Komen
ADS