mk-logo
Berita
Pemuda Umno tuntut k'jaan PN tubuh RCI siasat TH
Diterbitkan:  Jun 22, 2020 5:25 PM
Dikemaskini: 9:30 AM

Pemuda Umno mengulang gesaan supaya satu suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan penyelewengan Lembaga Tabung Haji (TH) segera ditubuhkan.

Ketuanya, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata walaupun gabungan parti politik yang membentuk pentadbiran PN tidak pernah menjanjikan penubuhan RCI itu, namun rakyat berhak tahu mengenai dakwaan skandal yang digembar-gemburkan kerajaan PH dulu.

"Bermula dengan pelbagai tuduhan penyelewengan yang berlaku dalam TH yang sehingga kini tiada satu pun didakwa ke muka pengadilan, sehinggalah pelbagai isu yang menyentuh hati rakyat termasuklah ura-ura pengurangan subsidi buat jemaah Haji," kata Asyraf dalam suatu kenyataan hari ini.

Pihak berkuasa, kata Asyraf perlu menyiasat dakwaan urus niaga tanah TH Plantations berjumlah RM170 juta.

"Isu jualan lambak ke atas 76.2 peratus ladang-ladang milik TH Plantations yang berkeluasan 101,000 hektar menjadi hanya 24,000 hektar dengan kaedah yang begitu meragukan juga benar-benar membangkitkan keresahan 9.4 juta pendeposit di kalangan umat Islam.

"Ini tidak termasuk aset-aset lain TH bernilai RM10 bilion yang sudah terjual kepada syarikat milik Kementerian Kewangan, Urusharta Jemaah Sdn Bhd," dakwanya.

Jabatan Perdana Menteri sebelum ini mendedahkan bahawa aset dengan nilai buku (book value) sebanyak RM10 bilion dipindahkan ke Syarikat Tujuan Khusus (SPV) dengan harga RM19.9 bilion.

Dalam balasan parlimen, JPM telah menjelaskan hal ini untuk membantu Tabung Haji menampung asetnya berbanding defisit liabiliti dan membiarkannya membayar dividen kepada pendeposit.

Asyraf berkata, Tabung Haji semasa pemerintahan BN secara konsisten memenuhi tanggungjawabnya kepada penyumbang dan dengan demikian dakwaan salah urus dan defisit di bawah pemerintahan PH telah menimbulkan persoalan di kalangan rakyat.

"Pergerakan Pemuda Umno Malaysia meminta agar Kerajaan PN dapat segera menubuhkan RCI bagi menyiasat segala dakwaan penyelewengan dalam Lembaga Tabung Haji bagi mengembalikan keyakinan pendeposit dan pelabur institusi terulung umat Islam terus terpelihara," katanya.

Dr Mujahid Yusof ketika menjadi menteri di JPM pada 31 Jan lalu berkata tidak ada keperluannya untuk menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat salah laku yang berlaku dalam Lembaga Tabung Haji (TH) semasa era pentadbiran BN.

Hal itu katanya, memandangkan segala penyelewengan telah dikenal pasti dengan jelas melalui penyiasatan yang dijalankan sebelum ini, malah laporan polis juga telah dibuat ke atas mereka yang terlibat.

Mujahid mengulas desakan Asyraf Wajdi Dusuki sebelum itu yang meminta kerajaan PH supaya segera menubuhkan RCI bagi menyiasat dakwaan penyelewengan dalam TH semasa era BN.

Lihat Komen
ADS