Malaysiakini
BERITA

Pemimpin cabang PKR pernah diterajui Ali Biju umum keluar parti

Diterbitkan
Dikemaskini 22 Jun 2020, 11:39 tengahari

Seramai 25 pemimpin akar umbi daripada 29 pemegang jawatan PKR Cabang Saratok telah mengumumkan keluar dari parti itu.

Menurut perlembagaan PKR kepemimpinan nasional perlu gantung, bubar atau ambil alih pentadbiran cabang itu.

Dalam suatu kenyataan hari ini, kumpulan 25 pemimpin cabang itu berkata mereka keluar PKR kerana hilang keyakinan terhadap parti itu.

"Kami seperti ahli di peringkat akar umbi yang lain sedar dan memerhatikan pergolakkan dalaman parti yang telah mengakibatkan parti yang kami sayangi ini menjadi kucar kacir dan tiada arah tuju.

"Kami berasa kecewa kerana parti seolah olah lebih mementingkan impian peribadi presiden untuk menjawat jawatan perdana menteri dan bukannya untuk memperjuangkan agenda reformasi seperti yang senantiasa dilaung laungkan selama ini,” kata kumpulan 25 orang itu.

Menurut perlembagaan parti, dengan keluarnya lebih dari dua pertiga pemegang jawatan di cabang itu, maka kepemimpinan PKR nasional perlu menggantung, membubarkan atau mengambil alih pentadbiran bahagian tersebut.

Saratok merupakan kawasan parlimen Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Ali Biju, yang keluar PKR pada akhir Februari dan kini menjadi anggota kerajaan persekutuan Perikatan Nasional.

Gambar fail Ali Biju bersama Menteri Kanan Azmin Ali.

Ali Biju juga ialah Adun Krian, kawasan Dewan Undangan Negeri Sarawak. Saratok terletak di selatan Sarikei.

Kumpulan 25 itu juga menyatakan kesetiaan mereka kepada Ali, berkata pengaruh PKR di Saratok adalah hasil kerja keras pemimpin itu.

"Kami juga percaya bahawa Ali Biju di atas kapasiti beliau sebagai timbalan menteri sekarang dapat membawa lebih banyak pembangunan di kawasan kami demi kepentingan rakyat.

"Tidak dapat dinafikan, di mata kami sebagai AJK Cabang Saratok dan rakyat Saratok secara amnya, Ali Biju merupakan seorang pemimpin yang berjiwa rakyat dan kami percaya setiap keputusan dibuat demi kepentingan rakyat,” kata kumpulan itu.

Mereka juga berjanji untuk menyokong tawaran Ali untuk masa depan untuk mengekalkan kerusi Krian dan Saratok. Ali telah menjadi wakil rakyat Krian selama dua penggal, manakala parlimen Saratok disandangnya bagi penggal pertama.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.