Rahim Noor tidak pukul bekas tahanan ISA, kata Hadi Ho
Bekas Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Abdul Rahim Noor tidak mungkin telah memukul bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Abdul Malek Hussin lapan tahun lalu, demikian menurut seorang pegawai kanan polis.
Bekas Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Abdul Rahim Noor tidak mungkin telah memukul bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Abdul Malek Hussin lapan tahun lalu, demikian menurut seorang pegawai kanan polis.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Selangor, Hadi Ho Abdullah memberitahu Mahkamah Tinggi semalam bahawa Abdul Rahim berada di ibupejabat polis Kuala Lumpur tetapi sedang menghadiri mesyuarat ketika kejadian tersebut dikatakan berlaku.
"Tan Sri Rahim Noor (foto) tiba di ibupejabat polis itu kira-kira jam 12.15 pagi 26 September 1998 dan beredar kira-kira jam 2.58 pagi selepas menghadiri mesyuarat dengan ketua cawangan khas Kuala Lumpur dan dua pegawai cawangan khas dari (ibu pejabat polis) Bukit Aman di tingkat lima," katanya.
Hadi (foto), yang merupakan Timbalan Ketua CID Kuala Lumpur ketika itu, memberitahu demikian ketika memberi keterangan terhadap perbicaraan saman RM30 juta oleh Abdul Malek terhadap kerajaan, KPN dan pegawai cawangan khas, Borhan Daud.
Sebelum itu, Abdul Malek memberi keterangan bahawa Rahim telah memukulnya kerana pukulan tersebut menyebabkan kain menutup matanya terbuka dan membolehkannya melihat bekas KPN itu dalam bilik soal-siasat.
Siasatan dipersoalkan
Dalam perbicaraan semalam, kesungguhan Hadi hadi menyiasat laporan polis yang dibuat oleh Abdul Malek pada 13 Mac 1999 berhubung kejadian tersebut turut dipersoalkan.
Dalam laporannya, Abdul Malek mendakwa, beliau mengalami trauma di segi fizikal dan psikologi selepas penahanannya berhubung satu demonstrasi yang terjadi selepas pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Abdul Malek (foto) mendakwa, beliau telah dipaksa berbogel dan disimbah dengan air dalam bilik berhawa dingin, dipukul lebih 60 kali sehingga pengsan, gangguan seksual dan dipaksa meminum air kencing dan diugut akan disuntik dengan virus HIV/Aids.
Bagaimanapun, Hadi berkata, siasatannya mendapati kejadian itu tidak berlaku. Beliau juga memberi keterangan panjang lebar mengenai kesungguhannya dan butir terperinci mengenai langkah-langkah yang diambilnya sebelum membuat kesimpulan tersebut, yang berdasarkan kepada keterangan 30 pegawai polis.
Katanya, hasil siasatannya itu juga dibuat berdasarkan kepada laporan perubatan dan gambar-gambar Abdul Malek, masing-masing dalam tempoh empat hari dan 27 hari, selepas dia ditahan.
"Saya tidak mahu dituduh tidak serius dan menjalankan siasatan dengan terperinci," katanya kepada Hishamudin Mohd Yunus.
Hadi juga menolak andaian peguam Abdul Malek R Sivarasa bahawa hasil siasatannya itu dibuat berdasarkan kepada maklumat yang diperolehinya daripada sumber-sumber lain.
"Saya tidak berdasarkan pandangan dan hasil siasatan saya hanya kepada apa yang dimaklumkan kepada saya oleh saksi, tetapi juga dokumen seperti gambar plantif dan laporan (perubatan) Dr Vasantha Ponniah," katanya.
Pemeriksaan perubatan
Hadi juga menolak andaian Sivarasa bahawa beliau tidak menjalankan tugasnya dengan baik apabila gagal bertanya kepada dua orang pegawai cawangan khas mengenai laporan yang dibuat pada 3 Disember 1998 di internet mengenai dakwaan Abdul Malek dibelasah.
Ketika Hadi merakamkan kenyataan bekas tahanan ISA itu, Abdul Malek memberitahunya yang dia telah diancam oleh dua pegawai cawangan khas mengenai laporan di internet itu.
Sivarasa juga mempersoalkan rasional Hadi menghantar Abdul Malek untuk pemeriksaan kesihatan empat bulan selepas kejadian tersebut didakwa berlaku.
Hadi telah menghantar Abdul Malek ke wad kecemasan Hospital Kuala Lumpur pada 18 Mac 1999 selepas dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.
Katanya, beliau berbuat demikian kerana tidak mahu dituduh tidak memberi bantuan perubatan kepada Abdul Malek.
"Saya bukan seorang pakar perubatan untuk menentukan sama ada terdapat tanda-tanda kecederaan. Tetapi plantif telah berkata beliau tidak diberi sebarang rawatan perubatan sejak dilepaskan dari tahanan," katanya.
Apabila diberitahu bahawa Abdul Malek sebelum itu telah diperiksa oleh Dr Vasanth Ponniah, Hadi berkata, beliau tidak dapat mengesahkan sama ada ianya sebenarnya berlaku.
"Pada masa itu (kenyataan Abdul Malek dirakam), saya tidak tahu dan saya tidak pasti sama ada terdapat sistem merakam atau dokumen disimpan oleh cawangan khas mengenai tahanan ISA.
"Saya perlu merakamkan kenyataan plantif untuk mendapatkan gambaran yang jelas yang akan membolehkan saya menjalankan siasatan lanjut," tambahnya.
Perbicaraan akan disambung pada 27-28 Julai depan. Terjemahan

