Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Perak benarkan ibadah korban, wanita berjemaah Aidiladha

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah memberi perkenan untuk solat sunat Aidiladha dan ibadah korban dilaksanakan sempena Aidiladha yang bakal disambut semasa tempoh perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) dikuatkuasakan.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Negeri Perak (MAIPk), Shahrul Azam Shaari berkata pemberian perkenan itu setelah mendapat nasihat daripada Jawatankuasa Fatwa Perak dan merujuk garis panduan Majlis Keselamatan Negara serta Kementerian Kesihatan.

Katanya, solat sunat Aidiladha yang dijangka pada 31 Julai ini boleh dilaksana secara berjemaah di seluruh masjid dan surau dengan bilangan jemaah berasaskan had kapasiti keluasan sebenar ruang utama dewan solat dengan mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) iaitu jarak satu meter antara ahli jemaah.

Selain itu, beliau berkata, wanita juga dibenarkan untuk menunaikan solat sunat Aidiladha secara berjemaah di ruang khas yang disediakan dan kehadiran hendaklah bersama mahram.

"Memandangkan sambutan Aidiladha tahun ini jatuh pada hari Jumaat dan selaras dengan ketetapan ulil amri (pemerintah), adalah ditegaskan bahawa solat Jumaat wajib dilaksanakan dengan bilangan jemaah berasaskan had kapasiti ruang solat yang mematuhi SOP ditetapkan," katanya dalam kenyataan di Ipoh hari ini.

Shahrul Azam berkata kehadiran solat sunat Aidiladha dan solat Jumaat pada masa ini hanya dibenarkan kepada warganegara Malaysia dengan identiti jemaah hendaklah disemak dan direkod sebelum dibenarkan masuk ke ruang solat.

Mengenai ibadah korban, beliau berkata hanya anjuran jawatankuasa masjid dan surau dibenarkan mulai 31 Julai hingga 3 Ogos, terhad di halaman rumah ibadah itu dengan syarat perlu mendapat kelulusan pihak berkuasa agama negeri dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Katanya kehadiran semasa aktiviti ibadah korban pada masa ini hanya dibenarkan kepada warganegara Malaysia dan identiti peserta serta petugas yang melaksanakan ibadah korban hendaklah disemak dan direkod sebelum dibenarkan masuk ke ruang penyembelihan dan pengagihan.

Beliau berkata Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) akan mengeluarkan garis panduan pelaksanaan solat sunat Aidiladha dan aktiviti ibadah korban kepada semua pengerusi jawatankuasa kariah masjid dan surau di negeri itu.

"Arahan dan ketetapan ini hendaklah terpakai dan berkuat kuasa serta-merta sehingga dikeluarkan apa-apa arahan baharu daripada MAIPk," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS