Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pangkor bebas karbon: Van berkuasa elektrik ganti teksi merah jambu

Penggunaan van berkuasa elektrik bagi menggantikan teksi van merah jambu di Pulau Pangkor dijangka dapat dilaksanakan selewat-lewatnya hujung tahun ini, kata Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata, penggantian itu selaras dengan perancangan kerajaan negeri yang mahu menjadikan Pulau Pangkor yang memperoleh status Pulau Bebas Cukai (PBC) berkuat kuasa 1 Jan lepas, sebagai pulau bebas karbon.

Menurut Ahmad Faizal, kira-kira 100 van berkuasa elektrik dengan kos keseluruhan RM10 juta itu sepatutnya sudah mula digunakan namun disebabkan pandemik Covid-19 ia menghadapi kelewatan.

"Kos untuk van sahaja RM10 juta. Kita mungkin akan kenakan sedikit bayaran kepada mereka (pengusaha teksi) iaitu bayaran minimum untuk komitmen," katanya kepada pemberita selepas meninjau pembukaan semula sesi persekolahan di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Sam Tet di Ipoh, Perak, hari ini.

Mac lepas, Ahmad Faizal mengumumkan perancangan kerajaan negeri untuk menjadikan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas karbon dengan memperkenalkan kenderaan elektrik secara berperingkat menerusi peruntukan khas yang diluluskan oleh Perdana Menteri Ketujuh Tun Dr Mahathir Mohamad pada Disember lepas.

Mengenai pembelian kereta rasmi menteri besar yang baharu jenama Lexus, Ahmad Faizal berkata ia adalah keperluan di samping mendapat potongan harga yang tinggi kira-kira RM50,000.

"Sebelum ini kerajaan negeri membeli 14 buah kereta jenis Toyota Camry dan apabila Penasihat Undang-Undang negeri, Rohana Abdul Malek berpencen beliau telah membeli kereta berkenaan (yang sebelum itu disediakan untuk tugasan rasmi).

"Sehubungan itu, kami kekurangan sebuah kereta untuk kegunaan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), maka saya serahkan kereta saya untuk kegunaan Exco dan (kerajaan negeri) beli kenderaan baharu (untuk kegunaan menteri besar)," katanya.

Katanya kerajaan negeri juga merancang untuk membuka tender bagi menjual kenderaan sedia ada yang tidak digunakan.

-Bernama

Lihat Komen
ADS