Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
6 lagi positif, 3 kluster baru dikesan
Diterbitkan:  Jun 24, 2020 5:24 PM
Dikemaskini: 9:38 AM

Setakat tengah hari tadi, Malaysia mencatatkan enam kes Covid-19 baru, menjadikan jumlah terkumpul yang dicatatkan adalah sebanyak 8,231 kes.

Dalam sidang media hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes baru itu terdiri daripada dua kes import dan empat kes jangkitan tempatan.

Kesemua mereka sudah diasingkan dan kini sedang menerima rawatan.

Kesemua empat kes jangkitan tempatan melibatkan warganegara Malaysia yang terdiri daripada tiga kes di Selangor dan satu kes di Sarawak.

Ini menjadikan jumlah kes aktif Covid-19 di Malaysia ialah 244 kes.

Tiga kes di Selangor terdiri daripada, satu kes saringan pusat tahfiz, satu kes daripada Kluster Kondominium Hulu Langat, satu kes daripada Kluster Bukit Bintang. Sementara satu kes di Sarawak melibatkan kes daripada Kluster Tapak Pembinaan.

Dua pesakit kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.

Noor Hisham juga hari ini memaklumkan tiada kematian baru dilaporkan, menjadikan jumlah korban akibat Covid-19 di Malaysia kekal sebanyak 121 kes.

3 kluster baru

Selain itu, Noor Hisham memaklumkan bahawa kementerian mengesan tiga kluster baru iaitu Kluster Bukit Bintang, Kluster Tapak Pembinaan di Kuching, dan Kluster Kondominium di Hulu Langat.

Sebanyak 10 kes positif dilaporkan dalam kluster Bukit Bintang yang melibatkan sembilan kes warganegara Bangladesh dan satu kes warganegara Malaysia.

Jelas Noor Hisham, kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-8498) merupakan seorang lelaki bukan warganegara yang telah menjalani saringan Covid-19 untuk masuk kerja dan didapati positif pada 15 Jun 2020.

Setakat ini KKM telah menyaring seramai 274 orang dan mendapati sembilan kes positif, dan 265 negatif. Tujuh daripada 10 kes positif kluster ini adalah rakan serumah kepada kes indeks.

Kluster Tapak Pembinaan di Kuching pula mula dikesan apabila kes ketiga kluster itu (iaitu kes ke-8591) telah membuat saringan Covid-19 di sebuah klinik swasta dan didapati positif.

Pesakit itu merupakan ketua penyelia kepada dua orang pekerja warga Indonesia yang telah dikesan positif pada 16 Jun hasil saringan di tempat kerja.

Seramai 426 kontak telah dikenal pasti dan 62 orang didapati negatif dan selebihnya (iaitu 364 kontak) masih menunggu keputusan.

Kata Noor Hisham, bagi Kluster Kondominium Hulu Langat pula, ia melibatkan kes indeks (kes ke-8368) yang merupakan seorang pelajar pusat tahfiz yang dikesan positif pada 8 Jun.

Seramai 40 kontak rapat telah dikenal pasti dan disaring dan tiga kes dikesan positif, 30 kes negatif dan tujuh orang masih menunggu keputusan.

 


 


Lihat Komen
ADS