Sebuah lagi rakaman video yang menayangkan tindakan ganas di kalangan pelajar sekolah telah diedarkan di internet. Klip video selama enam minit itu menunjukkan seorang pelajar perempuan ditampar dan ditendang oleh sekumpulan pelajar perempuan sekolah menengah.

Kejadian itu, yang dipercayai telah dirakam dengan menggunakan telefon mudah alih, berlaku di Sarawak baru-baru ini.

Klip tersebut menunjukkan kira-kira enam pelajar perempuan yang beruniform memaki-hamun seorang pelajar perempuan di kawasan taman manakala beberapa pelajara lelaki hanya memerhati apa yang berlaku.

Semua pelajar berkenaan kedengaran bertutur dalam bahasa Mandarin.

Dua daripada pelajar perempuan berkenaan menyoal mangsa mengenai aduannya yang dia telah dipukul oleh salah seorang pelajar kaki buli (memakai jaket hijau) dalam klip video tersebut.

"Adakah kamu hendak beritahu kami atau tidak?" jerit pelajar-pelajar berkenaan.

Mangsa hanya berdiam diri selepas ditampar berkali-kali dan dia terus menerus menafikan telah mengadu mengenai kejadian sebelum itu.

Bagaimanapun, pelajar-pelajar perempuan berkenaan terus memukul dan menendangnya.

"Adakah kamu bagitahu (yang kamu dipukul)? Saya bertanya kepada kamu, Tidak? Jika tidak, lawan balik. Jika tidak, mengapa pelajar lelaki pukul kami?

Balas dendam?

Ketika itu, beberapa pelajar lelaki masuk campur dan menggesa pelajar-pelajar perempuan berkenaan supaya berhenti memukul mangsa. "Cukuplah! Tidak cukup lagi ke memukulnya?"

Pelajar-pelajar lelaki berkenaan kemudian melindungi mangsa dan membawa pergi dari situ, tetapi pelajar-pelajar perempuan yang lain terus menampar dan menarik rambut mangsa.

Daripada apa yang mereka perkatakan, dipercayai mangsa telah mengadu kepada rakan pelajar lelakinya yang dia telah dibuli oleh kumpulan pelajar perempuan berkenaan, menyebabkan pelajar lelaki berkenaan bertindak balas terhadap mereka.

Kejadian dalam klip video tersebut mungkin satu tindakan membalas dendam.

Klip video tersebut telah mencetuskan perbincangan meluas dalam forum di internet termasuk sesetengahnya yang mendakwa ia berlaku di taman rekreasi Tanjung Lobang di Miri.

Adalah antara mereka yang menyarankan supaya melaporkan perkara tersebut kepada pihak sekolah dan polis.

Awal minggu ini, tujuh orang pelajar disingkirkan dari sebuah sekolah di Johor selepas satu klip video menunjukkan mereka memukul seorang pelajar sekolah berkenaan. Enam daripada mereka telah disoalsiasat oleh pihak polis.