Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
1MDB: Keputusan lucut hak RM100,000 Kasitah Gaddam 24 Julai

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 24 Julai ini untuk keputusan permohonan pendakwaan bagi melucut hak ke atas wang RM100,000 daripada bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, Kasitah Gaddam yang didakwa mempunyai kaitan dengan skandal penyelewengan dana 1MDB.

Pesuruhjaya Kehakiman, Ahmad Shahrir Mohd Salleh menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak pada pendengaran permohonan itu hari ini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nik Haslinie Hashim berhujah bahawa walaupun wang itu telah digunakan oleh responden (Kasitah) namun mahkamah mempunyai kuasa untuk mengeluarkan perintah kewangan mengikut Seksyen 59 Akta Pengubahan Wang Haram (Amla) 2001, iaitu mengarahkan responden untuk membayar semula amaun berkenaan.

"Walaupun responden berkata wang berkenaan kononnya digunakan untuk tujuan PRU 2013, tetapi hakikatnya wang itu diperoleh daripada bekas perdana menteri Najib Razak dan diakui sendiri oleh responden," katanya.

Peguam Sasila Basri yang mewakili Kasitah bagaimanapun berkata, walaupun anak guamnya mengaku menerima wang berkenaan daripada Najib pada 2012, tetapi ia adalah untuk tujuan kerja-kerja PRU ke-13 yang diadakan pada 5 Mei, 2013.

"Yang Arif, anak guam saya adalah pesara kerajaan dan bekas menteri dalam kabinet Malaysia. Akaun bank berkenaan wujud lagi awal untuk tujuan kemasukan wang pencen sebaik sahaja beliau pencen pada 2004. Ia bukan dibuka untuk aktiviti haram.… aktiviti haram harus dibuktikan terdahulu.

"Wang RM100,000 itu diterima pada 2012, disita oleh SPRM pada 2018...tetapi anak guam saya menerima wang pencen lebih RM100,000 dalam tempoh setahun. Wang yang disita adalah wang milik beliau," katanya.

Sehubungan itu, katanya, permohonan pihak pendakwaan harus ditolak kerana ia memprejudis anak guam saya kerana wang itu milik beliau," katanya.

Beliau menambah, bukti kemasukan wang pencen turut dieksibitkan bagi menunjukkan bahawa wang itu adalah milik responden.

Pada Jun tahun lepas, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata permohonan perlucuthakan sivil telah difailkan terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (Amla) di mana suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank Najib.

-Bernama

Lihat Komen
ADS