Antara Matrade dan Piala Dunia
Malaysia mempunyai peluang yang lebih cerah untuk memenangi Piala Dunia daripada usaha kerajaan untuk mendapatkan pampasan RM159.8 juta daripada Perangsang International Sdn Bhd (PISB) kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Malaysia mempunyai peluang yang lebih cerah untuk memenangi Piala Dunia daripada usaha kerajaan untuk mendapatkan pampasan RM159.8 juta daripada Perangsang International Sdn Bhd (PISB) kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Dalam satu kenyataan semalam, beliau menganggap wang tersebut sudah 'lesap' kecuali kerajaan mengambil langkah tegas terhadap para pegawai kerajaan negeri dan kerajaan pusat yang terbabit.
PISB adalah anak syarikat Kumpulan Hartanah Selangor Bhd milik kerajaan negeri Selangor yang diberi kontrak pada 1993 untuk membina bangunan Matrade yang dijadual siap pada 1997.
Bagaimanapun, apabila bangunan tersebut disiapkan oleh kontraktor lain, kosnya melambung naik kepada RM287.5 juta, dengan RM64.8 juta daripadanya dibelanjakan untuk kerja-kerja pembaikan dan RM95 juta lagi kerana kelewatannya.
PISB telahpun dijual, diberi nama lain dan kemudiannya dibubarkan sebelum ia diminta membayar hutangnya.
Perkara tersebut telah menimbulkan persoalan sama ada ia dirancang oleh kerajaan Selangor sejak tahun 2003 untuk 'menipu' kerajaan pusat bagi mengelak membayar gantirugi tersebut.
Tanggungjawab bersama
Selasa lalu, Menteri Kerjaraya Datuk Seri S Samy Vellu meletakkan sebahagian kesalahan tersebut kepada Kementerian Kewangan kerana memilih PISB walaupun kementeriannya mencadangkan syarikat lain -- Ireka Construction Bhd.
Mengulas lanjut mengenainya, Lim mengkritik Samy Vellu kerana meletakkan kesilapan di bahu orang lain.
"Tindakan Samy Vellu meletakkan kesalahan di bahu orang lain merupakan pelanggaran prinsip tanggungjawab bersama. Selagi dia menjadi sebahagian daripada kerajaan, dia pun patut dipersalahkan sama," katanya.
Menurut Lim lagi, terdapat beberapa persoalan yang perlu dijawab, iaitu:
1) Mengapa Kementerian Kewangan memilih PISB walaupun ia kurang pengalaman dan rekod prestasi untuk mengendalikan projek tersebut?
2) Mengapa PISB atau pengarahnya tidak disaman pada 1999 kerana tidak menjalankan tugas dengan cekap?
3) Mengapa kerajaan memberi kontrak tersebut tanpa meminta pengarah PISB, kerajaan Selangor dan Pusat, memberi jaminan peribadi atau korporat.
4) Mengapa terma kontrak itu sedemikian rupa sehinggakan kontraktor terbabit boleh melepaskannya tanpa bersetuju melakukan kerja-kerja pembaikan? Terjemahan

