Kerajaan Malaysia tidak pernah membuat tawaran untuk menjual pasir kepada Singapura serta membenarkan republik itu menggunakan ruang udara Johor seperti yang didakwa oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Beliau membuat penafian tersebut dalam jawapan bertulisnya kepada Ketua Pembangkang Lim Kit Siang ((DAP-Ipoh Timor) hari ini.

Sebaliknya, kata Syed Hamid, pihak Singapura yang memulakan perbincangan mengenai penjualan pasir serta penggunaan ruang udara Johor.

Katanya, isu kebenaran menggunakan ruang udara itu bukanlah perkara baru dan telahpun dibincangkan sejak sekian lama dalam pakej rundingan dua hala pada 1998 hingga 2002.

"Tun (Dr Mahathir) sendiri telah memasukkan isu itu sebagai salah satu isu untuk pertukaran semasa rundingan secara berpakej diadakan antara kedua-dua negara," katanya.

Dalam wawancaranya dengan malaysiakini bulan lalu, Dr Mahathir mendakwa kerajaan Malaysia yang menawarkan ruang udara Johor serta jualan pasir kepada Singapura dan bukannya sebaliknya.

Menurut Mahathir, tawaran tersebut dibuat dalam mesyuarat pada 2004 setahun selepas beliau bersara antara dua negara berkenaan bagi memujuk Singapura bersetuju dengan cadangan pembinaan jambatan lurus.

Isu tertunggak

Syed Hamid berkata, Menteri Kanan Singapura Goh Chok Tong, semasa bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Putrajaya bagi membincangkan isu tertunggak, mengulangi permintaan Singapura agar Malaysia membenarkan semula penggunaan ruang udara Malaysia oleh Tentera Udara Singapura.

"Semasa pertemuan itu juga, Goh buat pertama kalinya membangkitkan isu pasir dan meminta agar Malaysia membenarkan semula penjualan pasir ke Singapura," jelas Syed Hamid.

Bagaimanapun, katanya, semasa rundingan peringkat Pegawai Kanan antara Malaysia dan Singapura pada September 2005 hingga Mac lalu, hanya dua daripada lima hak keistimewaan yang diminta Singapura, telah dipertimbangkan setelah mendapat kelulusan Kementerian Pertahanan iaitu hak Mencari dan Menyelamat serta hak Transit Koridor Utara.

Menurut Syed Hamid, hak Mencari dan Menyelamat ditawarkan berdasarkan prinsip timbal balas, selaras dengan amalan antarabangsa manakala hak Laluan Koridor Utara pula hanya bagi tujuan laluan transit ke Laut China Selatan di mana pesawat Tentera Udara Singapura tidak akan berlegar di ruang udara Malaysia.

Mengenai isu pasir, beliau berkata kerajaan telah memberi pertimbangan terhadap permintaan Singapura setelah mengambilkira negara sebenarnya telah lama menjual pasir kepada Singapura di bawah pentadbiran Dr Mahathir.

"Pasir juga sebenarnya masih tetap dijual Malaysia pada masa ini, iaitu pasir silika. Namun berbanding penjualan pasir yang dijalankan di bawah pentadbiran Dr Mahathir, Malaysia telah mengemukakan syarat-syarat penjualan pasir yang lebih ketat," katanya.

Kementerian akan jawab

Syarat-syarat itu berkaitan aspek kualiti pasir, lokasi, bayaran royalti, pengeluaran lesen, prosedur kerajaan persekutuan dan negeri, peraturan melombong pasir, terma dan syarat berkaitan serta penguatkuasaan efektif bagi memelihara kepentingan negara.

Bagaimanapun, Syed Hamid berkata kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan pembinaan jambatan itu setelah mengambil kira sentimen dan sensitiviti rakyat, dan dengan itu Malaysia juga tidak perlu lagi mempertimbangkan pemberian ruang udara serta pasir seperti yang diminta Singapura dan kedua-dua isu itu tidak sepatutnya dibangkitkan lagi.

Seperti yang diarahkan Perdana Menteri, Syed Hamid berkata kementeriannya akan mengeluarkan penjelasan terperinci mengenai persoalan dan dakwaan yang dibangkitkan Dr Mahathir mengenai jambatan, pasir dan ruang udara.

Kementerian Luar juga akan bertindak secara telus dan terbuka dalam mengeluarkan dokumen-dokumen yang difikirkan penting namun ia perlu dilakukan secara berhati-hati agar tidak menjejaskan kepentingan negara, katanya.

Menyentuh bayaran pampasan kepada Gerbang Perdana Sdn Bhd akibat pembatalan projek jambatan itu, beliau berkata, kerajaan masih mengkaji secara terperinci bayaran pampasan secara keseluruhan serta untuk membina laluan baru menghubungkan Tambak Johor dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) yang baru.