mk-logo
Berita
Syed Saddiq dicalonkan Anugerah Ahli Politik Muda 2020
Diterbitkan:  Jun 26, 2020 4:03 AM
Dikemaskini: 4:28 AM

  • Di kemas kini dengan komen Syed Saddiq.

Bekas Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul tersenarai sebagai calon bagi anugerah One Young Politician World 2020 anjuran organisasi global, One Young World.

One Young World, organisasi berpangkalan di United Kingdom yang menghubungkan dan mempromosikan pemimpin muda, berkata Syed Saddiq merupakan salah seorang daripada 15 ahli politik muda seluruh dunia yang tercalon untuk anugerah itu.

Laman webnya menyebut peranan Syed Saddiq, 27 tahun, sebagai menteri serta Projek Reben Kuning inisiatifnya yang bertujuan memberi peluang pekerjaan kepada pelajar sekolah pemulihan akhlak dan bekas banduan.

Menurut organisasi itu, anugerah tersebut mengiktiraf lima ahli politik berusia 18-35 tahun paling menonjol yang memberi impak positif kepada golongan muda dalam komuniti dan negara masing-masing.

"Senarai pendek sedang dinilai oleh panel hakim pakar One Young World, yang akan memutuskan lima pemenang. Pemenang akan diumukan pada pertengahan Julai dan akan diberikan ketika Sidang Kemuncak One Young World 2021 di Munich, Jerman," katanya.

Menjadi orang paling muda yang pernah menganggotai Kabinet Malaysia, Syed Saddiq antara lain memainkan peranan penting dalam penurunan umur layak mengundi kepada 18 tahun dan Sekolah Kepemimpinan Masa Depan Malaysia (MFLS).

Rang undang-undang (RUU) meminda Perlembagaan Persekutuan untuk penurunan umur itu diluluskan Dewan Rakyat pada 16 Julai 2019.

Bagaimanapun pendaftaran pengundi 18 tahun masih belum dilaksanakan dengan persiapannya dijangka selesai selewat-lewatnya Julai 2021.

Berkenaan Projek Reben Kuning pula, setakat Februari lalu lebih 24,000 orang telah mendapat manfaat antaranya menerusi latihan kemahiran dan keusahawanan.

Selain Syed Saddiq, antara yang turut tersenarai sebagai calon adalah Timbalan Menteri Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Namibia, Emma Theofelus (24 tahun), Datuk Bandar di Afganistan, Zarifa Ghafari (28 tahun) dan Menteri Hal Ehwal Belia UAE Shamma Al-Mazrui (27 tahun).

Antara mereka yang pernah memenanginya pula ialah Jurucakap bagi La Republique En Marche di Perancis Hervé Berville, Menteri Perhimpunan Kebangsaan Venezuela Juan Guaidó, Menteri Pelancongan, Industri dan Keadilan Iceland Thórdís Kolbrún R. Gylfadóttir, Datuk Bandar di United Kingdom Magid Magid dan wakil Gabungan Demokratik Afrika Mbali Ntuli.

Sementara itu, Syed Saddiq meluahkan rasa gembira atas pencalonan tersebut serta menzahirkan ucapan terima kasih atas kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ketika menjadi menteri.

“Sudah tentu saya gembira dengan berita ini. Bagi saya, ini bukanlah sebuah pencapaian untuk individu semata-mata.

“Saya tahu bahawa untuk membawa perubahan yang baik kepada negara, kerja keras bersama adalah paling utama.

“Jadi, saya ingin ucapkan terima kasih kepada keluarga KBS,” katanya menerusi akaun media sosial.

Mengulas lanjut, beliau turut menasihati anak muda supaya terus bekerja keras dan memberi inspirasi pada negara.

Nyatakan sokongan anda pada kewartawanan mapan

Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk melaporkan kebenaran. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini sebagai sumber kewartawanan berkualiti. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk mempertahankan ketelusan dan keadilan.

Tanpa tauke untuk menentukan bentuk pemberitaan; bebas daripada pengaruh politik dan komersial, Malaysiakini hanya mempunyai satu sahaja bos - anda, rakyat.

Mengambil kesempatan ini, kami ingin mengucapkan terima kasih atas rasa cinta anda kepada tanah air serta kepercayaan yang diberikan untuk kami menggalas tugas ini - sebagai semak dan imbang kepada kekuasaan.

Kami bergantung kepada langganan anda untuk mempertahankan pendirian ini. Terima kasih.

Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen
Paling Popular
Terkini