Paling Popular
Terkini

Rang undang-undang (RUU) meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan umur mengundi dari 21 ke 18 tahun disambut semua pihak sehingga diluluskan dalam bacaan kedua di Dewan Rakyat Hari ini.

Dalam undian dijalankan hari ini, usul itu disokong oleh semua perwakilan yang hadir, dan tiada ahli parlimen yang berkecuali.

Bagi Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun, kelulusan itu membuktikan generasi muda sudah mencapai tahap pengetahuan lebih tinggi berbanding dulu.

“Usul … (itu) adalah untuk memperkasakan muda mudi malaysia dan ia mengambil kira tahap ketinggian pengetahuan dan pendidikan Malaysia pada masa ini.

“Tahap pengetahuan muda mudi telah lebih tinggi daripada yang lalu, di mana pada masa Merdeka, kita tetapkan 21 tahun, dan sekarang tahap pengetahuan dan pendidikan sudah tinggi, maka eloklah had umur mengundi diturunkan kepada 18,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen.

Pada 10 Julai, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memohon kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk menarik balik RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 setelah pihak pembangkang menyuarakan pendapat mengenai penambahbaikan terhadap RUU itu.

RUU itu dengan tambahan untuk pendaftaran pengundi automatik - dibentangkan semula di Dewan Rakyat keesokan harinya.

Kemenangan untuk anak muda

Bagi Syed Saddiq yang bertanggungjawab membawa usul itu ke Dewan Rakyat, dia menyifatkan kelulusan itu sebagai kemenangan bersama semua pihak.

“Saya rasa hari ini hari bersejarah. Saya selalu tekankan ini kemenangan bersama. Kemenangan ini tidak hanya berpihak kepada PH, Umno, BN, GPS, PAS, tapi saya rasa ini kemenangan bagi anak muda secara keseluruhan.

“Saya harap bahawa (sikap) bipartisan ini akan diteruskan. Dalam politik memang kita akan berbeza pendapat tapi tak bermaksud kita akan bermusuhan sehingga tak boleh bekerjasama.

“Saya ucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua kerana setahun bawa perkara ni- begitu lama. Alhamdulillah kita dpt laksanakan bersama,” katanya kepada pemberita.

Sementara itu, kata Ketua Pembangkang, Ismail Sabri Yaakob, ia menunjukkan bahawa pihak pembangkang pasti akan menyokong hal-hal yang melibatkan kepentingan rakyat.

“Kita dah sokong dan tepati janji kita. [...] Hari ini terbukti semua yang hadir dalam kalangan pembangkang berikan sokongan.

“Pindaan ini selaras dengan apa yang diperjuangkan pembangkang untuk kepentingan golongan muda, sebab itu kita berikan sokongan.

Kesedaran mengundi

“Apabila kita berikan pandangan, perdana setuju malah memaklumkan kepada kita dia akan menarik balik RUU asal dan gantikan dengan RUU dipinda seperti yang dipinta pembangkang. Tiada isu kita lihat hari ini.

“Saya rasa pertama kali dalam sejarah 100 peratus yang hadir dalam dewan berikan pengundian menyokong, kecuali tiga orang sahaja berada di luar negara dan sebagainya,” katanya lagi.

Pindaan kali ini merupakan pindaan pertama perlembagaan sejak pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi.

Bagi Presiden PAS Abdul Hadi Awang pula, perkara yang penting selepas ini adalah gerak kerja bagi menggerakkan rakyat keluar mengundi.

“Sekarang ini kita kena terus bekerja, bekerja untuk mengundi. Yang penting dia terima (pendaftaran) automatik.

“Yang penting kerahan tenaga keluar mengundi dan paling penting ada kesedaran mengundi dan kesedaran politik,” katanya lagi.

Sebelum diluluskan, seramai 59 anggota parlimen mengambil bahagian membahaskan RUU tersebut sepanjang tempoh lima jam.

RUU tersebut diluluskan kira-kira jam 7 petang tadi.

Lihat Komen
ADS