Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Annuar: K'jaan stabil, isu bubar parlimen tak berbangkit

Isu bubarkan parlimen tidak berbangkit buat masa ini, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa.

Jelas Annuar, ini kerana kerajaan ketika ini berfungsi dengan baik dan mempunyai seorang perdana menteri sebagai ketua.

"Pada saya buat masa ni tak berbangkit soal bubarkan parlimen sebab kita dah ada perdana menteri.

“Kita sudah ada kerajaan dan tak timbul soal ketidakstabilan. Saya tengok kerajaan kini adalah mantap,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Pameran Kartun: Kartunis vs Covid-19 di Rumah Kartun dan Komik Malaysia, Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur hari ini.

Anuar juga berkata, Umno secara rasmi menyatakan pendirian teguh terhadap kepimpinan Muhyiddin ketika ini.

“Kita ulangi sokongan pada perdana menteri sebagai loose coalition (pakatan tidak rasmi) dalam Perikatan Nasional (PN). Itu pendirian rasmi boleh saya sebut sebagai Setiausaha Agung BN dan itu jugalah pendirian kita buat dalam Muafakat Nasional di mana saya bertindak sebagai setiausaha agung,” katanya.

Semalam, Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan dalam kenyataannya meminta Muhyiddin supaya segera membubarkan kerajaan kerana beranggapan negara mengalami ketidakstabilan politik.

Katanya, perkara itu tidak pernah dialami sejak negara merdeka hingga menyukarkan kerajaan untuk meluluskan antaranya pelbagai rang undang-undang kritikal termasuk membentangkan belanjawan bagi memulihkan negara daripada kemelesetan ekonomi.

Mohamad turut mencadangkan kerajaan agar mengambil contoh langkah diambil Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong yang membubarkan Parlimen republik itu bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan pada 10 Julai ini.

Sebaliknya, Annuar yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno berpendapat cadangan dilontarkan Mohamad semalam adalah pandangan peribadi bekas menteri besar Negeri Sembilan itu.

Katanya, Umno hingga kini tidak mengadakan sebarang perbincangan baru mengenai perkara tersebut.

“Sebenarnya Umno tak buat apa-apa perbincangan mengenai pembubaran parlimen. Tapi kami pernah buat perbincangan tersebut sewaktu Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri interim.

“Kita juga perlu memilih seorang perdana menteri selepas Mahathir melepaskan jawatannya ketika itu kerana berpandangan parlimen perlu dibubar bagi membentuk kerajaan baru,” katanya.

Anuar turut menambah bahawa ketika ini kerajaan wajar menumpukan sepenuh perhatian bagi menyelesaikan masalah rakyat.

"Saya rasa rakyat mungkin keletihan dengan orang politik asyik cakap politik tapi masalah mereka begitu banyak belum selesai dari sekecil-kecil isu gelandangan, perumahan, ramai hilang pekerjaan, perniagaan dan sebagainya,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS