Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tiada SOP, rekod untuk bilik simpan bukti sementara bomba - Saksi

Mahkamah Tinggi yang mendengar perbicaraan kes bunuh Ketua Pegawai Eksekutif Craddle Fund, Nazrin Hassan, hari ini diberitahu tiada prosedur operasi standard (SOP) bertulis bagi bilik bahan bukti sementara yang digunakan untuk menyimpan bahan bukti yang diambil dari bilik Nazrin yang terbakar.

Saksi pendakwaan ke-23, Pegawai Bomba Che Daud Adli Yusof @ Che Man, 55, berkata sejak beliau mengambil alih tanggungjawab menjaga bilik simpanan bahan bukti itu pada 2016, tiada sebarang rekod dicatat pihaknya berhubung jenis bukti yang disimpan termasuk nama pegawai yang menyimpan dan membawa keluar bahan bukti.

“Bilik bahan bukti sementara ini berfungsi sebagai tempat simpanan sementara bahan bukti yang diambil dari mana-mana tempat kejadian sekiranya makmal ditutup kerana cuti umum. Bilik ini dilengkapi pendingin hawa dan sebuah mesin ‘chiller’ (penyejuk),” katanya ketika disoal balas oleh peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman di Shah Alam.

Terdahulu, Muhammad Shafee bertanyakan sama ada terdapat SOP khusus untuk bilik berkenaan bagi memastikan bahan bukti yang disimpan di bilik itu yang terletak di pejabat Bahagian Siasatan Kebakaran, Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor di Shah Alam tidak tercemar.

Che Daud Adli juga memberitahu beliau sedang bercuti ketika pegawai penyiasat kes kebakaran yang mengorbankan Nazrin itu hendak menyimpan bahan bukti di dalam bilik berkenaan.

“Pada 14 Jun 2018 saya sedang bercuti di kampung di Kelantan, pegawai penyiasat kes Abdul Halim Zulkefeli menghubungi saya kerana mahu menyimpan bahan bukti di dalam bilik bahan bukti sementara berikutan makmal tutup sempena cuti hari raya dan saya beritahu dia kedudukan kunci pendua bilik berkenaan yang saya sembunyikan di dalam laci,” katanya.

Menurut Che Daud Adli, selain beliau ada dua lagi pegawai atasannya yang mengetahui lokasi kunci pendua bilik berkenaan.

Pada 12 Mac 2019, bekas eksekutif kanan Perbadanan Harta Intelek Malaysia, Samirah Muzaffar, 45, yang juga isteri Nazrin, 47, serta dua remaja lelaki, masing-masing berusia 17 dan 14 tahun, serta seorang wanita Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari, didakwa membunuh mangsa.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun 2018.

Perbicaraan bersambung Isnin depan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS