Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata tindakan Kementerian Penerangan mengarahkan program call-in "Topik Pagi" Ai FM (stesen Bahasa Cina Radio Malaysia) diberhentikan adalah tidak wajar sama sekali.

Ahli Pimpinan Tertinggi (MPT) PKR, Low Chee Chong berkata, pihaknya melihat langkah kementerian tersebut sebagai campurtangan politik untuk melenyapkan rasa tidak puas rakyat yang kian meningkat sejak kebelakangan ini.

"Ia juga bertujuan untuk mengembalikan imej (Datuk Seri) Abdullah Ahmad Badawi yang telahpun tercalar ekoran beberapa keputusan kerajaan yang membebankan rakyat," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, antara keputusan kerajaan yang menimbulkan ketidakpuasan rakyat adalah kenaikan harga minyak dan tarif elektrik, serta pengurangan kelas sekolah rendah Cina yang menyinggung perasaan masyarakat Cina khususnya.

"Kesemua perkara ini seterusnya menjurus kepada penutupan program call-in iFM setelah menyiarkan satu forum berbunyi "Adakah wajar 45 orang dalam satu kelas?" yang berkaitan dengan isu pengurangan kelas sekolah rendah Cina.

Tekanan politik

"Kami berpendapat Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin tidak harus mengenakan tekanan politik ke atas stesen penyiaran awam dan mengawal agendanya.

"Hal ini kerana stesen penyiaran awam adalah milik rakyat dan bukan milik peribadi Zainuddin, maka ia sewajarnya menyalurkan wacana rakyat dan bukan mematuhi arahan kerajaan semata-matanya," tambahnya..

Selama ini, katanya, Zainuddin memiliki rekod buruk dalam campurtangan kebebasan media negara ini.

"Dia telah mengancam Umno akan memecat beberapa orang ketua pengarang New Straits Times sehari sebelum pengumuman kabinet baru. Dia juga pernah memberi amaran kepada media agar tidak melaporkan perhimpunan rakyat membantah kenaikan harga minyak Februari lalu," katanya.

Oleh itu, katanya, PKR menyeru agar orang ramai mengemukakan bantahan dalam perkara ini kepada Menteri Penerangan sama ada melalui faks atau emel untuk menggesa beliau membatalkan keputusan memberhentikan program call-in iFM.