Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pencalonan Shafie: Pendirian PH mungkin hanya diketahui selepas Jumaat

Mesyuarat Majlis Presiden PH yang penting - berhubung calon perdana menteri gabungan itu - hanya akan dibuat selepas Jumaat.

Menurut Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata sekretariat PH dijadual bermesyuarat pada Khamis ini.

Mesyuarat itu akan menetapkan tarikh mesyuarat majlis presiden yang biasanya menentukan hala tuju dasar gabungan itu. Mesyuarat terakhir adalah pada 13 Jun lalu.

Tumpuan kini terhadap sama ada Majlis Presiden PH akan menyokong Presiden Warisan Shafie Apdal sebagai calon perdana menteri atau tidak.

Pakatan pembangkang - merangkumi PH (PKR, DAP dan Amanah) serta Warisan dan lima bekas ahli Parlimen Bersatu - tampak akan mencapai persetujuan berhubung calon perdana menteri tak lama lagi.

Calon itu bakal membawa tiga implikasi.

Pertama, pembangkang merasakan mereka memerlukan seorang calon jika Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak lagi mendapat sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat.

Tahap sokongan Muhyiddin akan diuji ketika Dewan Rakyat memulakan sidang pada 13 Julai ini.

Kedua, pembangkang juga perlu bersedia dengan kemungkinan pilihan raya mengejut apabila lebih ramai pemimpin Umno menggesa Muhyiddin untuk berbuat demikian.

Akhir sekali, calon perdana menteri akan memutuskan siapa yang akan duduk di bahagian kiri paling hampir dengan Speaker Dewan Rakyat, yang biasanya menjadi kerusi ketua pembangkang yang juga biasanya calon perdana menteri mereka.

Sejak akhir Mei, pembangkang yang telah mengadakan beberapa mesyuarat pimpinan tertinggi belum dapat dapat bersetuju antara Mahathir dan Anwar Ibrahim untuk menjadi calon perdana menteri.

Semalam Mahathir mengisytiharkan beliau tidak lagi merebut jawatan itu tetapi pada masa sama mendedahkan beliau telah bertemu secara tidak rasmi dengan pemimpin parti pembangkang, kecuali PKR, dan mereka setuju Shafie menjadi calon perdana menteri.

Bagaimanapun dalam satu kenyataan bersama, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata cadangan itu masih perlu dibincangkan di peringkat parti masing-masing dan juga PH. PKR pula belum menyatakan pendirian rasmi berkenaan perkembangan itu

Lihat Komen
ADS