Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Wad perempuan Hospital Sultanah Aminah terbakar
Diterbitkan:  Jun 28, 2020 5:49 PM
Dikemaskini: 11:15 AM

Kebakaran berlaku di wad perempuan Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru kira-kira pukul tiga petang tadi, menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Larkin.

Sejumlah video dan gambar kebakaran di media sosial menunjukkan sekurang-kurangnya tiga trak bomba telah dikerahkan ke sana, sementara jururawat menjaga pesakit yang dibawa keluar.

Mengesahkan perkara itu, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba dipetik Bernama berkata bagaimanapun, kesemua 24 pesakit yang berada di wad berkenaan, berjaya diselamatkan.

Ditemui pemberita di lokasi kejadian, beliau menjelaskan pada mulanya kebakaran adalah kecil dan dapat diatasi oleh Pasukan Respons Kecemasan (ERT) yang dilatih untuk memadamkan kebakaran, namun ia merebak semula.

“Pihak bomba yang sampai ke tempat kejadian dalam masa lima minit kemudian yang berjaya memadamkan sepenuhnya kebakaran 10 minit kemudian,” katanya.

Menurut Dr Adham, sepuluh daripada 24 pesakit telah dipindahkan ke Hospital Permai manakala selebihnya diletakkan di wad lain di HSA.

HSA baru-baru ini menjadi perhatian apabila ketua pengarang portal kesihatan CodeBlue, Boo Su-Lyn disiasat susulan beberapa artikel berkenaan penemuan laporan siasatan bebas terhadap kebakaran di hospital itu empat tahun lalu.

Pada Oktober 2016, satu kejadian kebakaran berlaku di tingkat dua unit rawatan rapi (ICU) yang turut mengakibatkan enam pesakit maut.

Dalam pada itu, Dr Adham meminta waris pesakit yang terlibat untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara itu daripada pihak hospital.

Katanya, punca kebakaran masih lagi disiasat oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor yang menjalankan kerja-kerja forensik.

Dr Adham juga diminta mengulas sama ada punca kebakaran kemungkinan sama dengan kejadian kebakaran pada Oktober 2016.

Menjawab soalan itu, Dr Adham berkata: "Kita akan tunggu laporan forensik bomba untuk pastikan sama ada ia similar (sama) dengan yang dahulu (kejadian kebakaran Oktober 2016) atau baru.

"Kita akan pastikan segala siasatan dilengkapkan terlebih dahulu.

"Dalam masa sama, kompleks (bangunan) wad ini juga akan ditutup sehingga dibenarkan oleh pihak bomba dan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri untuk dibuka bagi memastikan ianya selamat,” katanya.

Ditanya sama ada kementerian akan memeriksa semula keseluruhan bangunan HSA susulan terdapat kebimbangan bahawa akan berlaku lagi kebakaran di masa mendatang, Dr Adham berkata pihaknya akan melihat perkara itu.

“Seluruh situasi ini kita akan siasat dan juga akan pastikan lepas ini, ada pergerakan memperbaiki atau menambah baik (hospital),” katanya.

Lihat Komen
ADS