Najib ingatkan MP 'jangan tutup sebelah mata' bila buat dakwaan
Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan anggota Parlimen jangan mengamalkan sikap 'tutup sebelah mata' apabila membuat tuduhan di Dewan Rakyat walaupun mereka dilindungi hak keistimewaan Parlimen.
Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan anggota Parlimen jangan mengamalkan sikap 'tutup sebelah mata' apabila membuat tuduhan di Dewan Rakyat walaupun mereka dilindungi hak keistimewaan Parlimen.
Merujuk kepada dakwaan terbaru ahli Parlimen Jasin, Datuk Mohd Said Yusof, Timbalan Perdana Menteri berkata, wakil rakyat itu berhak membuat dakwaan di Dewan Rakyat tetapi beliau mestilah menyokongnya dengan bukti bagi mengelak apa-apa tindakan.
"Jika seseorang Anggota Parlimen membuat tuduhan dan tuduhan itu tidak berasas dan tidak disahkan, itu tidak menjadi kesalahan daripada segi undang-undang kerana dia dilindungi oleh hak keistimewaan parlimen.
"Ada beberapa Anggota Parlimen yang membuat dakwaan, dan kemudian dakwaan ini tidak disokong oleh bukti, terpulang kepada parti untuk membuat keputusan mengenai kes itu," katanya kepada pemberita di KUala Lumpur.
Di Dewan Rakyat hari Rabu, Mohd Said mendakwa kononnya beberapa pegawai kastam menjual kereta mewah yang dirampas pada harga murah kepada rakan dan kenalan mereka termasuk dari istana dan jabatan kerajaan lain.
Katanya beliau mempunyai bukti untuk menyokong dakwaannya itu tetapi tidak akan membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah kerana 'semua orang tahu apa yang sedang berlaku'.
Menurut laporan Bernama, Mohd Said sedang disiasat berhubung isu permintaannya kepada kastam supaya "tutup sebelah mata" berhubung urusan mengimport kayu balak dari Indonesia.
Najib, yang juga Ketua Whip Barisan Nasional, berkata Mohd Said masih menjadi Anggota Parlimen dan hak beliau untuk bersuara tidak harus dinafikan.
"Beliau berhak untuk bersuara selagi beliau menjadi wakil rakyat, kecualilah, jika dilucutkan jawatan kerana sebab-sebab tertentu," katanya.
Mengenai cadangan penjualan ibu pejabat MAS kepada Permodalan Nasional Bhd pada harga RM130 juta, Najib berkata langkah itu dapat meringankan beban hutang syarikat penerbangan itu.
"Penjualan ini juga bermakna bangunan itu masih dalam tangan kerajaan," katanya.

