Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sime Darby Plantation lantik Megat Najmuddin sebagai pengerusi baru
Diterbitkan:  Jun 30, 2020 3:14 PM
Dikemaskini: 7:43 AM

Sime Darby Plantation Bhd (SDP) hari ini mengumumkan pelantikan Megat Najmuddin Megat Khas sebagai Pengerusi Bukan Bukan Eksekutif dan Bukan Bebas berkuat kuasa esok.

Megat Najmuddin 75, adalah pengerusi lembaga disiplin Bersatu. Beliau pernah menjadi peguam, ahli parlimen dan memegang jawatan sebagai pengerusi di beberapa syarikat awam dan swasta serta badan bukan kerajaan.

Syarikat itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini turut mengumumkan bahawa Abdul Ghani Othman telah meletakkan jawatan sebagai pengerusi dan ahli lembaga pengarah berkuat kuasa hari ini.

Megat Najmuddin, 75 yang memegang kepentingan langsung sebanyak 5,000 saham dalam SDP, sekarang ini menjadi pengerusi dalam beberapa syarikat tersenarai awam dan swasta serta organisasi bukan kerajaan seperti Asian PAC Holdings Bhd, SEG International Bhd, Green Venture Capital Sdn Bhd, Ulink Ascot Sdn Bhd dan Institut Pengurusan Malaysia.

Megat Najmuddin juga merupakan presiden persekutuan Syarikat-syarikat Tersenarai Bhd.

"Bagi pihak SDP, saya mengalu-alukan Megat Najmuddin yang hadir semasa syarikat sedang melalui satu fasa yang penting dalam lebih daripada 100 tahun sejarah penubuhannya, khususnya apabila kami sedang membina asas untuk pertumbuhan masa hadapan dalam matlamat kami untuk menjadi peneraju minyak sawit bersepadu yang terkemuka," kata Pengarah Urusan Kumpulan SDP, Mohamad Helmy Othman Basha.

Mohamad Helmy juga melahirkan penghargaan beliau kepada Abdul Ghani di atas perkhidmatan dan sumbangannya sejak dilantik pada 2013.

"Melalui Abdul Ghani, syarikat telah berjaya mengatasi pelbagai cabaran dan terus mengorak langkah menerusi saat-saat kritikal seperti langkah pemecahan Sime Darby Group pada 2017 dan krisis Covid-19," katanya.

Lihat Komen
ADS