Kami bukan sokong Mahathir... kata Husam
Para pemimpin PAS meminta pihak tertentu jangan mensalahtafsir kehadiran mereka di majlis ceramah Tun Dr. Mahathir Mohamad di Taman Melawati, Hulu Kelang, Selangor Sabtu lalu sebagai tanda sokongan kepada bekas Perdana Menteri itu.
Para pemimpin PAS meminta pihak tertentu jangan mensalahtafsir kehadiran mereka di majlis ceramah Tun Dr. Mahathir Mohamad di Taman Melawati, Hulu Kelang, Selangor Sabtu lalu sebagai tanda sokongan kepada bekas Perdana Menteri itu.
Naib Presidennya, Datuk Seri Husam Musa menjelaskan, beliau bersama tiga lagi pemimpin kanan parti itu hadir kerana mahu mendengar sendiri apa yang hendak diperkatakan oleh Dr. Mahathir.
" Tidak bererti bila kita hadir, kita menyokong beliau. Tidak bermakna bila mendengar ceramah Dr. Mahathir kita bersetuju sepenuhnya dengannya.
"Kita bukan menyokong Dr. Mahathir tetapi menyokong beberapa perkara yang dibangkitkan oleh beliau.Kita tidak boleh begitu skeptikal dalam dunia yang terbuka ini," jelasnya kepada malaysiakini.
Husam menambah, apabila pemimpin PAS menghadiri majlis Dr. Mahathir, itu tidak bermakna ia meninggalkan rakan-rakan parti pembangkang yang lain.
" Bila bersama Dr. Mahathir, itu tidak bererti kita lupa apa yang telah beliau lakukan selama ini. Itu semua sudah menjadi sejarah dan kita sentiasa ingat sejarah. Segala kelemahan dan kesilapan beliau kita tidak boleh perbetulkan lagi tetapi kita boleh perbetulkan kesalahan dan kemungkaran yang dilakukan oleh kerajaan sekarang.
Oleh itu kita tidak boleh menganggap apa yang dilakukan oleh Dr. Mahathir sebagai tidak berguna. Dr. Mahathir ibarat menembak kubu sendiri. Tembakan dari dalam ini amat efektif," ujar beliau lagi.
Husam juga menegaskan, apa yang dilakukan oleh para pemimpin PAS itu juga tidak menyalahi ajaran Islam kerana ia berniat untuk membetulkan kemungkaran yang dilakukan oleh kerajaan sekarang.
Kehadiran empat pemimpin tertinggi PAS, Timbalan Presidennya, Nasarudin Mat Isa,Husam, Ketua Pemuda Salahuddin Ayub dan ahli jawatankuasa pusat, Mahfuz Omar di ceramah Dr. Mahathir itu telah menimbulkan rasa kurang senanag di kalangan pemimpin pembangkang dan ahli-ahli PAS sendiri kerana dianggap 'menyokong' Dr. Mahathir yang selama ini sentiasa menghentam parti dan pemimpin pembangkang.
Teguran Anwar
Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim secara terus terang dalam sidang akhbar di rumahnya semalam menyatakan rasa kurang senangnya terhadap kehadiran para pemimpin PAS di majlis itu.
Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu berkata sekalipun beliau menghormati hak para pemimpin PAS hadir di situ tetapi adalah tidak perlu mereka 'duduk bersama' bekas Perdana Menteri itu.
Anwar juga memberitahu, perkara itu telah dibangkitkan dalam pertemuan beliau dengan pimpinan PAS dan DAP beberapa hari lalu.
Menurut Husam lagi, kepimpinan PAS sentiasa membuka pentasnya kepada sesiapa sahaja yang mahu menegakkan kebenaran dan akan terus memenuhi jemputan mana-mana pihak yang dirasakan selari dengan perjuangan parti itu.
" Kalau orang jemput, kita akan hadir.....malah kalau Lee Kuan Yew pelawa kitapun, kita akan pergi. PAS bersikap terbuka, kita tidak akan duduk dalam kepompong yang sempit,"tambahnya.
Sementara itu Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayob pula berkata, pucuk pimpinan parti hadir di majlis itu kerana memenuhi arahan parti.
" Kita tidak pergi atas sifat peribadi. Parti mndapat jemputan lalu mengarahkan kita pergi, kerana mahu mendengar sendiri perkara yang dibangkitkan oleh Dr. Mahathir."
" Kita tak mahu mendapat maklumat sekadar hearsay sahaja atau hanya bergantung pada laporan akhbar. Kita mahu first hand information ," jelasnya.
Menurutnya, orang ramai tidak perlu risau tentang kehadiran pemimpin PAS di majlis itu kerana mereka sekadar pergi mendengar sahaja, bukannya menjalin komitmen atau kerjasama dengan Dr. Mahathir.
"Kehadiran kami di majlis itu bukannya tanda sokongan kepada bekas Perdana Menteri itu," tegasnya.

