Most Read
Most Commented
Read more like this

Lembaga Pengurusan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kini menawarkan pinjaman kepada siswazah mengganggur yang mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana di Instituti Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta tempatan.

"Selaras dengan dasar kerajaan menanggani isu siswazah mengganggur akibat kelembapan ekonomi, PTPTN akan menggunakan peruntukan RM40 juta yang disediakan kerajaan, untuk memberi pinjaman mereka yang diterima melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana," kata pengerusi tabung pendidikan itu, Datuk Ahmad Husni Hanadzlah.

"Berdasarkan kajian Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), sesuatu perlu dilakukan untuk menangani masalah siswazah lepasan ijazah yang menganggur. Daripada maklum yang diterima, ramai yang mahu melanjutkan pelajaran," katanya dalam sidang akhbar di lobi parlimen, hari ini.

Menurutnya, dengan peruntukan itu, PTPTN mampu menawarkan pinjaman kepada 1,500 pelajar. Tawaran itu terbuka kepada pelajar yang akan mengikuti pengajian mulai November tahun ini dan selepasnya di mana-mana 11 IPTA dan 19 IPTS dalam negara.

Katanya, untuk tempoh selama dua tahun, pinjaman berjumlah RM10,000 setahun diberikan kepada pelajar sarjana di IPTA manakala RM20,000 bagi pelajar IPTS.

"Bagaimanapun untuk IPTS pembiayaan hanya terhad bagi program yang diluluskan oleh Kementerian Pendidikan saja," katanya.

Syarat pinjaman

Menurut syarat pinjaman, pelajar perlu membayar balik pinjamannya dalam tempoh 15 hingga 20 tahun. Jumlah akan dikenakan kos pentadbiran pada kadar empat peratus setahun atas baki setiap bulan.

Selain itu, Ahmad Husni memberitahu sehingga 30 September 2001, PTPTN membelanjakan RM2.5 bilion untuk membiayai pinjaman pelajar di peringkat ijazah. Sejak ditubuhkan November 1997, PTPTN memberikan kemudahan pinjaman kepada 289,648 pelajar.

Beliau berkata, pelajar peringkat ijazah yang tidak mampu membayar balik pinjaman mengikut jadual, termasuk yang masih menganggur, dikehendaki membuat permohonan bagi menangguhkan bayaran balik pinjaman.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS