Kementerian Pendidikan (KPM) menetapkan tiga model pengoperasian pembukaan penuh sekolah, yang perlu dijadikan panduan pentadbir sekolah mengikut kesesuaian dan situasi, di sekolah masing-masing.
Menteri Kanan Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin berkata, berdasarkan analisis dan perincian yang telah dilaksanakan, model yang ditetapkan ialah Model Satu Sesi, Model Dua Sesi dan Model Penggiliran.
“Model pertama adalah Model Satu Sesi. Model ini untuk sekolah yang mempunyai bilik darjah atau ruang yang mencukupi bagi menempatkan semua murid dalam satu sesi, setelah mengambil kira jarakan sosial.
“Model Dua Sesi adalah untuk sekolah sedia ada yang telah beroperasi secara dua sesi, ataupun sekolah satu sesi yang kini perlu beroperasi secara dua sesi kerana tidak mempunyai ruang yang mencukupi bagi menempatkan semua murid dengan mengambil kira jarakan sosial,” katanya pada sidang media khas KPM hari ini.

Mohd Radzi berkata, Model Penggiliran pula ialah bagi sekolah yang tidak mempunyai ruang mencukupi untuk menempatkan semua murid, walaupun dengan melaksanakan model dua sesi, terutama sekolah yang terletak dalam kawasan berkepadatan penduduk tinggi.
- Bernama
