Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Hutan dalam talian' - Pelajar bina pondok bagi jalani sesi pembelajaran

Menghadiri kelas dalam talian dari rumah yang selesa semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) mungkin adalah impian yang menjadi kenyataan bagi sesetengah pelajar.

Namun, bagi pelajar di Kampung Bomboi, Sabah, jurang digital menyukarkan mereka untuk merasai pengalaman itu.

Pelajar SMK Keningau Rechellyna Wivian Rinus, 17, dan adiknya Riverra Wiviani Rinus, 15, adalah antara kanak-kanak yang tidak dapat mengakses internet dari rumah mereka.

Untuk meneruskan pembelajaran, mereka perlu berjalan sejauh 600 meter setiap hari ke kawasan ladang berhampiran pinggir kampung mereka tanpa mengira cuaca, kerana kawasan itu adalah satu-satunya bahagian kampung yang mempunyai isyarat 4G yang jelas untuk mereka menjalani kelas dalam talian.

"Walaupun hujan atau panas, kami perlu tempuh. Semua ini, agar kami dapat kehadiran penuh," kata Riverra.

Ketika mereka mula-mula menjalani kelas dalam talian, dua beradik itu berkata bahawa mereka perlu berdiri dengan komputer riba yang diletakkan di atas sebatang dahan.

Persekitaran yang tidak kondusif mendorong mereka mencari jalan untuk menjadikan kawasan itu lebih selesa.

Dengan bantuan bapa saudara mereka, mereka mengambil masa selama tiga hari pada awal temph PKP untuk membina sebuah pondok sementara di kawasan berkenaan dengan menggunakan kayu dan plastik.

 

Hari ini, pondok yang mereka panggil "Puru Online" digunakan oleh Riverra (gambar, kanan), lima adik-beradiknya yang lain dan beberapa kanak-kanak lain di kampung itu untuk sesi pembelajaran.

Mereka yang tidak mempunyai alat elektronik juga boleh datang ke pondok untuk berkongsi peralatan.

"Puru bermaksud hutan (dalam bahasa Kadazandusun). Jadi Puru Online bermaksud 'selamat datang ke hutan dalam talian'," kata Riverra.

Video yang dihasilkan oleh dua beradi itu menunjukkan bagaimana mereka membina Puru Online yang dimuat naik di YouTube dan kini mempunyai lebih 12,000 tontonan.

Kisah Puru Online adalah salah satu daripada beberapa lagi pelajar di luar bandar yang berjuang untuk mengikuti pembelajaran dalam talian semasa PKP.

Kisah-kisah ini mula muncul setelah pelajar Universiti Malaysia Sabah Veveonah Mosibin menarik perhatian orang ramai ketika dia merakam pengalamannya menghabiskan 24 jam di atas pokok untuk mengakses internet bagi menduduki peperiksaan dalam talian.

Sejak itu Veveonah dianugerahkan biasiswa, sementara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengumumkan rancangan untuk memasang menara telekomunikasi berhampiran kampungnya untuk memastikan sambungan 4G.

Malaysiakini juga melaporkan bagaimana pelajar di Pakan, Sarawak berkhemah di ladang atau bahkan hutan untuk menghadiri kelas dalam talian.

Bukan penyelesaian jangka panjang

"Walaupun Puru Online adalah lebih baik dari keadaan sebelumnya, anak-anak yang menggunakan pondok itu masih berjuang untuk persekitaran pembelajaran yang kondusif," kata aktivis sosial Angie Chin-Tan.

Pondok itu tidak mempunyai dinding untuk menepis tempias hujan sementara kanak-kanak berkenaan harus terus membakar kotak telur untuk menghalau nyamuk.

Mereka juga harus membawa anjing peliharaan mereka untuk melindungi diri daripada haiwan liar.

 

Pengasas Puru Online berkata, walaupun mereka menyesuaikan diri dengan keadaan yang sukar, mereka tahu ia bukan penyelesaian jangka panjang.

"Kami buat apa yang diperlukan, tetapi ini bukan penyelesaian jangka panjang. Kami berharap infrastruktur dan akses yang lebih baik dapat dilaksanakan kerana kami juga menginginkan akses pendidikan seperti kanak-kanak di kawasan bandar,” kata Riverra.

Kisah itu juga menarik perhatian Beyond Pitas, sebuah kumpulan organisasi bukan kerajaan yang bekerja untuk memenuhi keperluan masyarakat luar bandar di Sabah, dan Chin-Tan yang bekerjasama dengan dua beradik itu untuk mengumpulkan dana bagi menambah baik keadaan pembelajaran di Puru Online.

Mereka menyasarkan untuk mengumpulkan RM25,000, yang juga akan digunakan untuk membantu pelajar luar bandar yang lain dalam keadaan yang sama, di kampung-kampung di Sabah, termasuk Membakut, Kudat, Pitas, Kota Marudu dan Semporna.

Warga Sabah, Chin-Tan mengatakan bahawa dia memulakan kempen mengumpul dana kerana dia memahami cabaran yang dihadapi susulan jurang digital.

"Tidak dapat memperoleh pendidikan yang berkualiti hanya kerana geografi pelajar adalah masalah serius dan harus segera ditangani oleh pihak berwajib," katanya.

Lihat Komen
ADS