Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Syed Saddiq: Buka semula IPT sukarkan siswa, pentadbir, pensyarah
Diterbitkan:  Jul 2, 2020 12:14 PM
Dikemaskini: 4:14 AM

Keputusan kerajaan untuk membuka semula institusi pengajian tinggi (IPT) dalam tempoh yang singkat akan menyukarkan siswa dan pihak universiti, kata bekas menteri belia dan sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

"Keputusan ini bercanggah dengan kenyataan pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada 27 Mei 2020 yang memaklumkan pengajian di universiti awam akan diadakan melalui atas talian sehingga 31 Disember 2020.

"Saya juga telah menerima banyak aduan dan keluhan dari keluarga pelajar bahawa keputusan ini akan menyukarkan mereka," katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Syed Saddiq yang juga ketua Pemuda Bersatu (Armada) yang dipertikaikan berkata penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) bukan sahaja perlu mengosongkan asrama mereka, tetapi ada juga pelajar yang perlu menamatkan kontrak rumah sewa.

Sementara itu, katanya ada juga siswa yang perlu membeli tiket penerbangan yang mahal untuk perjalanan seperti dari Sabah atau Sarawak.

"Bukan sahaja para pelajar telah mengosongkan asrama, tetapi ramai juga yang telah menamatkan kontrak rumah sewa, dan ada yang menanggung tiket pergi pulang yang mahal dan membebankan (terutamanya dari Sabah dan Sarawak).

"Beban kewangan pasti lebih sukar dalam tempoh waktu sebegini.

"Pengumuman untuk pulang semula ke universiti juga dibuat kurang lebih sebulan sahaja dengan keputusan untuk para pelajar kosongkan asrama. Kini pelajar perlu mencari rumah sewa baru pula (dalam tempoh terdekat)," katanya.

Meskipun, Syed Saddiq bersetuju universiti patut dibuka semula, namun ahli parlimen Muar itu berkata beliau percaya bahawa keputusan terburu-buru itu akan membebankan pihak yang terlibat.

"Saya percaya setiap satu keputusan harus dibuat dengan pertimbangan wajar terhadap pihak pelajar, pensyarah dan pentadbiran universiti," katanya.

Beliau berharap supaya KPT dapat menjelaskan perkara ini untuk meredakan persoalan dan kebimbangan mereka yang terlibat.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata bahawa IPT akan dibuka semula tidak lama lagi dan menteri pengajian tinggi akan mengumumkan tarikh tidak lama lagi. 

Lihat Komen
ADS