Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Irmohizam rakyat Malaysia pertama dilantik pengerusi MAC
Diterbitkan:  Jul 2, 2020 4:40 PM
Dikemaskini: 8:40 AM

Bekas anggota parlimen Kuala Selangor, Irmohizam Ibrahim dilantik sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Anggota Asia Pasific (Persidangan & Pameran) yang baru bagi sesi 2020-2021.

Persatuan Pusat Dagangan Dunia (WTCA) dalam satu kenyataan berkata, Irmohizam merupakan rakyat Malaysia pertama dipilih memegang jawatan berkenaan.

"Sebagai pengerusi, beliau bukan sahaja memainkan peranan mempengerusikan dan menetapkan agenda mesyuarat untuk semua pusat dagangan dunia seluruh Asia Pasifik, tetapi juga berperanan penting dalam menentukan hala tuju dan memimpin perbincangan dan projek yang relevan dengan Majlis Penasihat Anggota Asia Pasifik dan juga menggalakkan penyertaan pusat dagangan dunia lain ke dalam persatuan," katanya WTCA.

Menurut WTCA, Majlis Penasihat Anggota Asia Pasifik kini sedang bekerjasama dengan ketua pegawai eksekutifnya, Scott Ferguson dalam program “Access Asia” bagi mempromosikan pusat dagangan dunia (WTC) dan perniagaan di seluruh rantau Asia Pasifik.

Sementara itu dalam kenyataan yang sama, Irmohizam dipetik sebagai berkata beliau berbesar hati dengan pelantikan tersebut dan berharap akan dapat menyumbang kepada idea baru dalam meningkatkan daya maju industri seterusnya memacu perkembangan ekonomi negara pasca Covid-19 melalui kemasukan semula persidangan dan pameran antarabangsa ke Malaysia.

“Saya mengharapkan kerjasama padu dari seluruh anggota persatuan supaya dapat meneruskan keterbukaan serta bersikap inklusif dengan semua ahli untuk menyumbang ke arah tatakelola persatuan yang lebih baik dan ingin menjadikan Malaysia sebagai hub lokasi persidangan dan pameran dunia.” kata Irmohizam.

Untuk rekod, Irmohizam merupakan bekas anggota parlimen Kuala Selangor dari tahun 2008 sehingga 2013.

Jawatan Pengerusi Majlis Penasihat Anggota Asia Pasifik adalah selama satu tahun dengan kemungkinan pelantikan semula untuk menjalani penggal tambahan seterusnya.

Selain menjalankan inisiatif yang ditetapkan oleh WTCA, Pengerusi Majlis Penasihat Anggota Asia Pasifik juga akan bekerjasama dengan anggota majlis lain yang wujud di dunia termasuk APAC, EU, ASEAN untuk menentukan projek tambahan yang bersesuaian.

Untuk rekod terdapat 93 pusat dagangan dunia di Asia Pasifik berdaftar di bawah Persatuan Pusat Dagangan Dunia (WTCA) antaranya ialah Pusat Dagangan Dunia Sydney, Pusat Dagangan Dunia Beijing, Pusat Dagangan Dunia Taipei, Pusat Dagangan Dunia Metro Manila dan Pusat Dagangan Dunia Tokyo.

Lihat Komen
ADS